Thursday, April 7, 2011

Azraai kecewa NS gagal raih kemenangan

KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah, kian tertekan selepas impian melihat skuad bimbingannya mencatat kemenangan pertama selepas mengambil alih tugasan daripada Wan Jamak Wan Hassan, 22 Mac lalu, tidak kesampaian. 

Wajahnya harus gelisah menyaksikan anak didiknya itu tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.



Ini adalah kekalahan kedua Negeri Sembilan kepada pasukan Lembah Klang itu selepas diaibkan pada saingan Piala FA yang sekali gus menyaksikan mereka gagal mempertahankan trofi kejuaraan kalah mati itu.
Walaupun dapat menurunkan kesebelasan terbaik termasuk gandingan Ahmad Fakhri Saarani dan Hairuddin Omar yang menerajui barisan depan, namun jentera Negeri Sembilan yang dikemudi pemain berpengalaman, Mohd Shukor Adan, dilihat serba tidak menjadi. 

Azraai mengakui kecewa dengan keputusan perlawanan itu ketika mengharapkan anak buahnya bangkit selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu, Selasa lalu. 

“Pemain nyata melepaskan peluang dan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabila pelawat pulang ceria selepas meraih tiga mata. Hakikatnya kita tidak punya banyak masa untuk memperbaiki keadaan kecuali setiap pemain berusaha memberikan persembahan cemerlang pada perlawanan berikutnya dan memastikan pasukan meraih keputusan memuaskan,” katanya selepas perlawanan kelmarin. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...