Kelab Penyokong Hijaukuning.com (HKC) menganggap kemenangan skuad Kedah mengatasi Kuala Lumpur dengan jaringan 1-0 pada pertemuan Liga Super 2011 kelmarin sebagai keputusan positif.
Skuad kendalian Radhi Mat Din itu menceriakan penyokong setia Hijau Kuning yang membanjiri Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras selepas Azmi Muslim meledakkan gol kemenangan pada lewat permainan.
Timbalan Bendaharinya, Saiful Azrul Che Lah berkata, prestasi Kedah semakin mempamerkan peningkatan ketara selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam kempen liga musim ini.
Katanya, rentetan kemenangan perlu diteruskan pada aksi bertemu Johor FC dalam usaha memberi cabaran kepada pendahulu liga.
“Tahniah saya ucapkan kepada Radhi kerana meneruskan acuan Ahmad Yusof untuk membentuk kombinasi yang mantap kepada pasukan Kedah kali ini.
“Kita akui, banyak kelemahan perlu diperbaiki dalam beberapa aspek sebelum meletakkan skuad Kedah kembali digeruni pihak lawan,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Saiful berharap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pantas dalam membuat sebarang keputusan mengenai jurulatih baru pasukan Kedah.
Katanya, apa jua tindakan perlulah mengambil kira pandangan semua pihak terutamanya pemain dan penolong jurulatih.
“KFA perlu pantas membuat keputusan mengenai jurulatih pasukan Kedah dan tidak membiarkan penyokong tertunggu-tunggu,’’ katanya.
HKC adalah sebuah Kelab Penyokong yang berdaftar secara rasmi pada 16 Februari 2005 yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan Kedah setiap kali turun beraksi.
Tahun lalu, Kelab Penyokong Kedah yang diwakili HKC, dinobatkan sebagai Kelab Penyokong Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS bagi tahun 2010.
No comments:
Post a Comment