Thursday, April 14, 2011

Semangat Perak kembali nyala

IPOH - Semangat berpasukan menjadi kunci kejayaan Perak mengutip mata penuh dalam aksi Liga Super menentang juara bertahan, Kelantan di gelanggang sendiri, kelmarin.

Jurulatih Perak, Norizan Bakar berkata, anak-anak buahnya beraksi dalam semangat berpasukan yang mantap, antara faktor menjadikan persembahan Perak menarik.

Walaupun tampil tanpa berbekalkan rekod bersih yang lebur di Sabah minggu lalu, tuan rumah bangkit garang membelasah Kelantan 4-0.

Empat gol Seladang hadir menerusi Md Fazrul Hazli, Mohd. Shafiq Jamal, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Razali Umar Kandasamy.

''Kemenangan ini tidak bergantung kepada kemampuan seseorang pemain sahaja tetapi hasil kerjasama berpasukan merupakan kunci utamanya," jelas Norizan, semalam.

Beliau yang bersyukur atas kejayaan tersebut mengharapkan momentum kemenangan itu berkekalan dalam perlawanan akan datang.

Menyentuh tentang kehadiran Razali, Norizan berkata, pemain itu berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Razali yang diturunkan menggantikan Mohd. Shafiq pada minit ke-68 telah mendapat tepukan gemuruh selepas menyumbangkan satu gol.

'' Semua pemain termasuk Razali perlu mempamerkan prestasi yang memuaskan dalam latihan harian jika mahu terpilih dalam kesebelasan pasukan," tambahnya.

Sebelum ini, Razali telah menimbulkan kekalutan dalam skuad Perak apabila ponteng latihan.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu mengakui kemantapan bahagian pertahanan dan tengah Perak menjadi punca utama kemenangan pasukan tersebut.

''Mereka (Perak) telah beraksi dengan baik dan menggunakan peluang gol dengan sebaik-baiknya," tambahnya yang menyatakan bahawa Kelantan juga berpeluang menjaringkan gol tetapi gagal direalisasikan.

Katanya, para pemain Kelantan tetap bersemangat walaupun ketinggalan dua gol tetapi bahagian pertahanan Perak terlalu kebal.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...