BEKAS ketua jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan membayangkan hasrat mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih Kedah bagi menggantikan Ahmad Yusof yang direhatkan, musim ini.
Hasrat berkenaan disuarakan pengendali itu kepada pengurus skuad Hijau Kuning, Datuk Khazali Din. Namun, dia meminta ia ditangguhkan sementara atas alasan tertentu.
Khazali berkata ia hanya akan diputuskan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) termasuk keputusan sama ada akan terus mengekalkan khidmat Ahmad Yusof atau sebaliknya.
“Dia (Wan Jamak) ada memberitahu berminat... tetapi minta ditangguhkan atas alasan tertentu termasuk masalah peribadi. Bagaimanapun, kita perlu mengumumkan siapa yang mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih pasukan selewat-lewatnya bulan depan sebagaimana ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Justeru, kita minta KFA segerakan keputusan melantik individu yang bakal dipertanggungjawab menggalas tugas sebagai ketua jurulatih kerana keadaan Sang Kenari ketika ini ibarat ‘anak ayam kehilangan ibu’,” katanya pada sidang media di pejabat Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS), semalam.
Sementara itu, Khazali berkata, kekalahan Kedah dengan Johor FC 1-2 malam kelmarin, sedikit sebanyak menghilangkan tumpuan pemain berikutan ketiadaan ketua jurulatih memperkemaskan strategi permainan.
No comments:
Post a Comment