Saturday, December 10, 2011

Bola anak angkat korporat



Najib Tun Razak menyampaikan replika cek RM2,000 kepada kapten skuad Harimau Muda, Baddrol Bakhtiar pada majlis penyerahan SHAKAM Sukan SEA XXVI di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam. Skuad bola sepak mempertahankan pingat emas pada temasya tersebut.
KUALA LUMPUR - Pembabitan lebih besar sektor swasta yang mengambil sesebuah pasukan sebagai anak angkat mereka, bakal disarankan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam membaharui perjalanan liga bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, idea pasukan anak angkat korporat mirip yang diamalkan di Myanmar sekarang, turut mampu menterjemahkan pasaran bola sepak tempatan sekarang menjadi industri yang lebih besar sehingga mencakupi rantau Asia Tenggara.

“Banyak negara ASEAN sudah melakukan transformasi besar liga mereka dan saya terkejut apabila mendapat tahu bahawa sektor swasta yang menggerakkan liga Myanmar dengan setiap badan korporat diwajibkan untuk mengambil sesebuah kelab itu macam anak angkat mereka.

“Kita dengan Myanmar pun, selalu kita ingat dia pasukan belasahan sahaja tetapi dia berjaya membelasah Vietnam (untuk menang gangsa di Jakarta, baru-baru ini),” katanya selepas majlis penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Sukan SEA XXVI Indonesia di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Beliau mengulas ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terdahulu dalam majlis itu yang menyarankan pembaharuan liga profesional negara supaya mutu bola sepak tempatan turut dapat ditingkatkan dan menjamin kesinambungan kejayaan pasukan Malaysia di pentas antarabangsa.

Jelas Ahmad Shabery, sebuah pasukan Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan mula menggunakan konsep anak angkat itu apabila dijanjikan sokongan kewangan yang besar daripada syarikat Airod Sdn. Bhd.

Kata Ahmad Shabery, sekiranya saranan pasukan anak angkat sektor swasta itu dapat diputuskan, ada kemungkinan sebuah Liga Juara-Juara Asia Tenggara seperti mana Liga Juara-Juara Eropah UEFA dapat diwujudkan sebagai menampung industri bola sepak serantau yang kian berkembang luas itu.

“Liga Juara-Juara Asia sudah ada tetapi di Asia Tenggara, belum lagi. Jika ini berlaku, ia akan memberi satu dimensi baru pada bola sepak kita. Ia perlu dilihat secara menyeluruh kerana di Indonesia pun, bayaran pemain profesionalnya begitu besar,” katanya.

“Saya akan cuba bincang dengan MSN dan FAM dengan menghadap Tuanku Sultan Ahmad Shah, Presiden FAM, tidak lama lagi untuk membincangkan beberapa pendekatan kerajaan jika boleh kita menolong (membaharui) Liga Malaysia,” katanya.

Malah, beliau sanggup mengetengahkan idea bagaimana untuk menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai pasaran atau industri besar bola sepak dalam mesyuarat dengan menteri-menteri sukan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jogjakarta, minggu depan.

Justeru, Ahmad Shabery menambah, cita-citanya dalam tempoh terdekat ini ialah melihat ramai pemain bola sepak tempatan yang mampu bergelar jutawan sebelum usianya mencapai 40 tahun seperti mana pemain badminton mahupun skuasy nombor satu dunia dari Malaysia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...