IPOH - Perak memilih dua pemain import berpengalaman dari Eropah bagi memperkuatkan skuad Seladang menghadapi Liga Malaysia 2012.
Dua pemain import itu ialah Lazar Popovic, 28, dari Serbia yang bermain di posisi penyerang dan Michal Kubala, 31, dari Slovakia di posisi tengah.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kedua-dua pemain import itu telah menandatangani kontrak semalam.
''Kita sekarang dalam proses mendaftarkan semua pemain skuad Perak dengan FAM," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Zainol percaya pengalaman luas yang dimiliki kedua-dua pemain import terbabit dapat memperkuatkan Perak untuk memberi saingan hebat dalam kempen Liga Malaysia musim depan.
Selain Serbia dan Slovakia, Perak turut menguji dua lagi pemain dari Australia dan Korea Selatan.
''Mereka telah diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Selepas menilai prestasi mereka, ketua jurulatih, Norizan Bakar dan panel pemilihan telah memilih dua pemain dari Serbia dan Slovakia," katanya.
Zainol berkata, sesi memperkenalkan pemain skuad Seladang dan penaja serta kad bermusim akan dibuat dalam masa terdekat.
Difahamkan, Popovic yang mempunyai ketinggian 1.89 meter memulakan karier profesionalnya di Jelen Superliga di Serbia dengan FK Cukaricki Stankom dan bermain untuk kelab itu antara 2000 dan 2009.
Dia turut membuat beberapa kemunculan di Ligue 2 Perancis dengan kelab Stade Brestois 29 pada musim 2005/2006. Pada Mac 2009, Popovic menyertai Daegu FC di K-League, Korea Selatan tetapi cuma sempat bermain sembilan perlawanan sebelum berpindah ke kelab Bosnia, FK Zeljeznicar Sarajevo.
Bersama Zeljeznicar, Popovic memenangi Premijer Liga naib juara Piala Bosnia-Herzegovina. Kelab terakhirnya ialah KF Skenderbeu Korce di Liga Super Albania.
Sepanjang karier profesionalnya, pemain itu menjaringkan 46 gol dalam 145 perlawanan.
Sementara itu, Kubala yang memiliki ketinggian 1.84 meter pula, menjaringkan 20 gol dalam 113 perlawanan sepanjang karier senior.
No comments:
Post a Comment