Thursday, December 8, 2011

2 April boleh daftar import


PERSATUAN bola sepak negeri dan kelab yang tidak sempat mendaftarkan pemain import dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga tarikh akhir hari ini untuk beraksi dalam Liga M 2012, masih boleh melakukannya pada 2 April depan.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) berkata, pasukan bola sepak negeri dan kelab tidak perlu terburu-buru untuk melakukan pendaftaran pemain import bagi mengelak berlakunya kesilapan dalam pemilihan pemain.

“Lebih elok jika mereka berhati-hati daripada berhadapan risiko tersalah memilih pemain kerana pengambilan pemain import membabitkan kos yang agak tinggi,” katanya.

Hamidin berkata, semua pasukan yang akan beraksi pada Liga M 2012 sudah selesai melakukan pendaftaran bagi pemain tempatan cuma beberapa pasukan belum mendaftarkan pemain import. Katanya peluang kedua membuat pendaftaran pemain import boleh dilakukan pada 2 April secara talian melalui “Transfer Matching System“ (TMS) yang diperkenal Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Buat masa ini, sekarang FIFA menutup seketika pendaftaran TMS dan akan membuka kembali pada 2 April. Persatuan dan kelab boleh membuat pendaftaran pada tarikh tersebut,” katanya.

Sistem Transfer Matching System (TMS) diperkenal FIFA pada Februari 2008 bagi melicinkan proses pemindahan pemain yang membabitkan 4,600 kelab dan persatuan bola sepak seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...