Thursday, December 8, 2011

Lampu limpah SSINS gagal tepati kriteria FAM


DUA pasukan bersaudara, Terengganu dan T-Team mungkin terpaksa melupakan hasrat beraksi pada sebelah malam dalam saingan Liga M dan Piala AFC musim depan apabila hasil pemeriksaan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, (SSINS) Kuala Terengganu, malam kelmarin mendapati cahaya lampu limpah stadium berusia 46 tahun itu tidak mencukupi bagi memenuhi kriteria ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud berkata, stadium perlu mempunyai tahap cahaya lampu limpah paling minimum 800 lux untuk aksi Liga M dan 1,200 lux untuk Piala AFC bagi melayakkan pasukan bertanding bermain pada waktu malam dan sekiranya gagal memenuhi kriteria itu, pasukan terbabit perlu bermain pada jam 4.45 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati cahaya lampu limpah di SSINS tidak mencukupi 800 lux untuk melayakkan Terengganu serta T-Team bermain pada sebelah malam,” katanya ketika ditemui di SSINS, malam kelmarin.

Bagaimanapun, beliau berkata, peluang SSINS menganjurkan perlawanan di sebelah malam tetap ada berikutan pihaknya akan menjalankan pemeriksaan kedua sebelum 21 Disember ini bagi memberikan peluang kepada persatuan dan kelab menambah cahaya lampu limpah berkenaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, biarpun membabitkan kos tinggi, RM2.8 juta untuk menambah cahaya lampu limpah sehingga 1400 lux, beliau yakin perkara itu dapat diselesaikan sebelum pertandingan Liga M bermula.

Katanya, PBSNT akan membawa perkara ini kepada pengetahuan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk dibincangkan memandangkan tarikh pertandingan Liga M makin hampir iaitu 10 Januari manakala Piala AFC pada 6 Mac tahun depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...