KUALA LUMPUR - Kelab bola sepak Kuala Lumpur yang kian meningkat, Felda United hanya mengekalkan tujuh pemain dari musim 2011 sambil menyenaraikan sebanyak 16 muka baru bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan yang bermula Januari ini.
Turut dikekalkan ialah E. Elavarasan dan bekas pemain Piala Dunia Czechoslovakia, Karel Stromsik selaku ketua jurulatih dan jurulatih penjaga gol manakala bekas jurulatih Kedah dan Pahang, Ahmad Yusof serta bekas pemain Selangor, Shahril Arsat dinamakan sebagai penolong jurulatih.
'Si Peneroka' kembali mempertaruhkan tonggak yang berjaya membawanya ke suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia 2011 - pencapaian terbaik sejak menyertai Liga M 2007, seperti Abdul Ghani Rahman, Nizam Abu Bakar, Juzaili Samion, Hamsani Ahmad, Mohd. Lot Abu Hassan, Azrul Ahmad dan Farderin Kadir.
Penolong Pengurus Felda United, Faisal Zakariah berkata, antara bintang pasukan lain yang menyertai pasukan itu bagi musim depan ialah Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Yong Kuong Yong (Kuala Lumpur), Hardi Jaafar (Selangor), Nizad Ayob dan Khairan Izuan Razali (Kelantan).
"Lain-lain termasuk Raimi Md. Nor (Sime Darby), Norizam Salaman (Johor), Farid Ramli (Kuala Lumpur), Firdaus Fauzi (Kedah), Irfan Ghani (Johor FC), Ahmad Aminuddin Shaharuddin (Negeri Sembilan), Suffian Ab. Rahman (Pahang), Nazri Ahmad, S. Sivanesan (Harimau Muda B), Shamin Osman (Johor) dan M. Sivakumar (Sabah)," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mengenai khidmat pemain import yang kembali dibenarkan ke Liga M mulai musim depan kata Faisal: "Tiga pemain dari Argentina akan kami uji dengan dua daripadanya bermain di posisi pertahanan dan seorang lagi penyerang dalam lingkungan usia 27 tahun."
No comments:
Post a Comment