KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menaruh harapan tinggi agar Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dapat dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammad IV pada Mac depan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, peluang untuk beraksi di tempat sendiri agak tipis berikutan beberapa kemudahan di stadium yang telah berusia 44 tahun ini gagal memenuhi syarat AFC.
"Seboleh-bolehnya saya mahu Kejohanan AFC berlangsung di Kota Bharu. Tetapi persoalannya bolehkah kita bermain di sini memandangkan kita masih tidak dapat memenuhi pelbagai syarat yang diletakkan oleh pihak AFC.
"Saya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung, Azman Ibrahim, banyak soalan yang perlu kita isi pada borang AFC, namun sukar untuk kita jawab. Misalnya bolehkah tahap pencahayaan stadium kita mencapai 1,200 lux sedangkan ketika ini hanya sekitar 800 lux sahaja.
"Begitu juga dengan scoreboard (papan keputusan elektronik) yang sampai sekarang tidak dibuat sejak setahun lalu. Memang kita dukacita, bukannya isu besar pun soal scoreboardtetapi sampai sekarang gagal dipasang. Saya akan minta Setiausaha Agung kemukakan rayuan kepada pihak AFC," katanya di sini, semalam.
Pada majlis undian Kejohanan AFC yang berlangsung di ibu negara tiga hari lalu, Kelantan selaku juara Liga Super musim ini diundi dalam Kumpulan H bersama tiga lagi pasukan iaitu Navibank Saigon (Vietnam), Arema Malang FC (Indonesia) serta Ayeyawady United FC dari Myanmar.
Menjawab maklum balas pihak kerajaan negeri mengenai perkara tersebut, Annuar enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta pihak media bertanyakan sendiri perkara tersebut kepada pihak berkenaan.
No comments:
Post a Comment