Friday, December 9, 2011

Sarawak tampil berwajah baru


SERBA BARU: Abdullah (kiri) dan Razali menunjukkan senarai penuh skuad Sarawak untuk Liga Super 2012 di Kuching semalam.
KUCHING: Sarawak bakal menampilkan skuad muda lagi berwajah baru ketika skuad negeri mempersiapkan diri untuk kembali semula ke kancah saingan Liga Super pada musim 2012.

Mendahului senarai barisan baru skuad Sarawak untuk musim baru ialah pemain import asing, Guy Bwele dari kelab Cotonsport, Cameroon yang bakal beraksi di bahagian pertahanan dan penyerang Kalle Sone Masue dari kelab Romania, CV Otopeni.

Dua ‘awang’ import itu merupakan dua daripada 11 pemain import yang bakal menyarung jersi pasukan ‘Ngap Sayot’ untuk cabaran Liga Super 2012 ini.

Pemain-pemain import tempatan lain ialah Saiful Amar Sudar (Selangor), Ramesh a/l Lai Ban Huat (KL Felda Utd FC), Yosri a/l Derma Raju (Selangor), Mohd Azizan Baba (Johor FC), Rajan a/l Koran (KL Felda Utd FC), Sani Anuar kamsani (MP Muar FC), Mohamad Rashid Mohamad Aya (Johor FC), Depan Sakwati a/l Kandasamy (Selangor) dan Ravindran a/l Krishnan (Harimau Muda A).

Pasukan negeri turut menyenaraikan dua pemain muda baru tempatan, Ronald Dennis dan Shahrul Abdul Malek yang dikesan bakat mereka menerusi jerayawara yang diadakan di semua bahagian di negeri ini baru-baru ini.

Selebihnya pemain-pemain tempatan yang dikekalkan dari musim lepas.

Pemain-pemain yang dikekalkan untuk musim ini ialah penjaga gol Aidil Mohamad, Mazwandi Zekeria, Sahran Abdul Samad, Mohamad Fareez Tukijo, Mohammad Dzulazlan Ibrahim dan Mohd Hairol Mokhtar (pertahanan), Azizan Saperi, Ashri Chuchu, Mohammad Shahrol Saperi dan Benedict Martin (pemain tengah) serta penyerang Zamri Morshidi dan pemain import tempatan dari Johor, Khairul Azahar Eidros.

Secara keseluruhannya, skuad Sarawak bagi musim 2012 memaparkan 13 pemain tempatan, 10 pemain import tempatan dan dua pemain import asing.

“Kita mempunyai pemainpemain yang berkualiti dengan pemain import dari semenanjung yang boleh meningkatkan komposisi pasukan,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdullah Julaihi dalam satu sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Naib Presiden FAS, Razali Dolhan.

Mengulas lanjut pengambilan pemain-pemain import, Abdullah berkata mereka telah pun melalui tempoh percubaan dan ujian kesihatan.

“Kita amat berhati-hati terhadap pengambilan pemain import. Mereka telah melalui prosedur yang ketat melalui Sistem Perpindahan Antarabangsa,” katanya.

Berhubung pengambilan semula Joseph Kalang Tie yang kini bermain bersama pasukan Terengganu, Abdullah berkata FAS tidak mampu untuk berbuat demikian kerana Joseph masih terikat dengan pasukan terbabit sehingga November 2012.

“Kita memang nak dia balik tapi masih terikat dengan kontrak.
justeru dari segi perundangan, kita perlu mematuhinya.

“Kita perlu tunggu sehingga tiga bulan sebelum kontraknya tamat, barulah boleh mengemukakan permohonan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah turut menegaskan bahawa FAS tidak menghadapi sebarang masalah dari segi kewangan.

“Dari aspek pengurusan kewangan, kita sentiasa berhemah dalam perbelanjaan.

FAS menjangkakan pengurusan akaun yang sihat untuk musim baru.

Atas sebab itulah, bukan mudah untuk mendapatkan pemain-pemain baru namun secara keseluruhan, kita mampu menguruskannya,” ujarnya sambil menambah FAS masih mendapat sokongan daripada kerajaan negeri.

Di samping itu, beliau berkata FAS juga akan terus bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dalam memartabatkan sukan bola sepak negeri ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...