KUALA LUMPUR - Pintu sentiasa terbuka buat pemain-pemain yang telah meninggalkan skuad Harimau Muda A pada saingan musim hadapan untuk mewakili negara dalam mana-mana kejohanan bawah 23 tahun.
Jelas Ong Kim Swee, tidak wujud pendekatan senarai hitam terhadap pemain berkenaan selagi memenuhi piawaian yang ditetapkan daripada aspek kecergasan dan mutu permainan.
''Tidak benar sama sekali tanggapan bahawa saya tidak akan lagi memberikan peluang kepada pemain-pemain yang bertindak meninggalkan skuad Harimau Muda mewakili negara di pentas antarabangsa.
''Selagi mereka semua dapat memenuhi tahap kecergasan dan gaya permainan yang saya mahukan semasa mewakili skuad negeri, saya tetap akan panggil dan pintu buat mereka sama sekali tidak akan tertutup.
''Saya mempunyai data setiap pemain selama empat tahun dan saya tahu di mana tahap mereka sebenar walaupun ada antara mereka tidak lagi bersama skuad Harimau Muda selepas ini.
''Mengenai mengapa saya tidak panggil Shakir dan Faizal, saya ada sebab tersendiri seperti Shakir yang gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama di Kedah manakala Faizal baru sahaja pulih daripada kecederaan yang panjang, " katanya yang ditemui di Wisma FAM, baru-baru ini.
Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan pemain-pemain yang bertindak meninggalkan skuad Harimau Muda bakal dipinggirkan daripada mewakili negara dalam kejohanan Bawah 23 tahun negara.
Ia bagaikan terbukti apabila beberapa pemain seperti Mohd. Faizal Muhammad, Ahmad Shakir Ali dan Ahmad Aminuddin Shaharuddin bagaikan sudah tiada dalam perancangan Kim Swee selepas bertindak meninggalkan skuad Harimau Muda A pada musim ini.
Pada Sukan SEA XXVI Indonesia dan kelayakan Olimpik, Faizal Muhammad tidak dipanggil untuk menjalani pemilihan walaupun dia baru mempamerkan persembahan cemerlang dengan skuad Terengganu pada saingan Piala Malaysia.
Malahan, lima pemain terbaru yang membuat keputusan untuk tidak lagi menyambung kontrak bersama Harimau Muda A seperti Mohd. Muslim Ahmad, K. Gurusamy, Mohd. Zamir Selamat, K. Sasikumar dan Abdul Shukor Jusoh diramalkan akan mengalami nasib yang sama.
Namun, ia dinafikan oleh Kim Swee sendiri yang berkata, dia bersedia membawa mana-mana antara lima pemain itu pada tiga lagi baki kelayakan akhir Olimpik tahun depan.
''Mereka yang bermain dengan skuad negeri musim depan akan dipantau oleh saya tahap dari masa ke semasa dan mereka masih ada dalam perancangan saya," ujarnya.
No comments:
Post a Comment