Thursday, June 16, 2011

Belum terlambat buat Red Giants julang piala - Devan

SHAH ALAM - Pengendali Selangor, K. Devan menyifatkan kejuaraan Liga Super sebagai gelaran paling berprestij jika dibandingkan dengan Piala Malaysia dan Piala FA.

Menurutnya, sesiapa yang berjaya menjuarai Liga Super paling layak dinobatkan selaku pasukan terbaik sesuatu musim tersebut.

"Pada pendapat saya, pasukan terbaik musim sudah pasti pemenang liga.

"Ini kerana dalam aksi liga, setiap pasukan perlu mengharungi 26 perlawanan semuanya dan kamu perlu mencatat keputusan konsisten sepanjang tempoh enam bulan untuk bergelar juara.

"Piala FA dan Piala Malaysia pula menggunakan format kalah mati, ada kalanya menang kalah sebuah pasukan itu bergantung kepada nasib," ujarnya.

Devan mengulas demikian apabila ditanya apakah dia sudah mula beralih tumpuan kepada Piala Malaysia selepas peluang memburu gelaran hatrik Liga Super tampak samar, memandangkan peneraju liga selesa memegang kelebihan dua mata di atas mereka menjelang perlawanan penutup tirai 6 Julai ini.

Bagaimanapun, Devan menganggap Piala Malaysia tetap penting kerana ia dapat menebus maruah Selangor selaku kuasa besar bola sepak kebangsaan, andai Gergasi Merah Kuning terlepas kejuaraan Liga Super kepada Kelantan bulan depan.

"Selangor sudah terlepas Piala FA dan jika terlepas Liga Super yang kami pegang untuk dua musim lalu pada hari penentuan nanti, maka Piala Malaysia adalah buruan terakhir.

"Sebagai pasukan besar, jika kami menamatkan saingan musim ini tanpa sebarang trofi, maka kami gagal," tegasnya.

Pemain Selangor, Amirulhadi zainal (kiri) diasak pemain Felda United, Rames Lai dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, kelmarin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...