Tuesday, June 14, 2011

Stadium negeri tak sesuai untuk perlawanan antarabangsa

KOTA BHARU 14 Jun – Kecuali Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam, semua stadium negeri didapati tidak sesuai menjadi venue sebarang perlawanan di peringkat antarabangsa kerana tidak mematuhi piawaian oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, semua persatuan bola sepak negeri dengan kerjasama kerajaan negeri masing-masing perlu mengambil inisiatif untuk menambah baik stadium yang ada jika mahu perlawanan peringkat antarabangsa diadakan.

"Kecuali dua stadium itu, yang lain masih tidak menepati piawaian FIFA dan AFC untuk diadakan perlawanan di peringkat antarabangsa dan sebab itu, FAM merasakan perlunya persatuan negeri dengan kerjasama kerajaan negeri untuk menaik taraf stadium yang ada.

"Bagaimanapun FAM tidak lepas tangan seperti di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV apabila stadium ini telah dinaik taraf untuk diadakan perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa,” katanya selepas mesyuarat penyelarasan perlawanan persahabatan Malaysia menentang Myanmar di sini hari ini.

Azzuddin berkata, FAM pada bila-bila masa bersedia untuk membenarkan mana-mana persatuan negeri yang lain untuk menganjurkan perlawanan persahabatan seperti itu sekiranya langkah-langkah tertentu diambil untuk menaik taraf stadium yang ada. – Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...