Wednesday, June 15, 2011

Tidak perlu risau

JURULATIH skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee belum mahu menekan butang panik walaupun menyaksikan anak buahnya mengalami dua kekalahan dalam tempoh seminggu termasuk dibelasah skuad Olimpik Qatar 4-0 dalam aksi persahabatan, semalam.

Menurutnya, kekalahan itu tidak boleh dijadikan ukuran kemampuan skuad muda negara kerana misi sebenar adalah berdepan Lubnan pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Beirut Ahad ini.

“Saya tak panik, kalau mahu nilai pemain biarlah berdasarkan keputusan dengan Lubnan dan bukannya mengambil kira keputusan dalam perlawanan persahabatan. Saya akan bertanggung jawab sepenuhnya apabila kita layak atau tidak selepas pertemuan dengan Lubnan. “Bagi peminat, kekalahan ini pastinya akan memberi gambaran buruk kepada mereka, tapi bagi saya, ini pengajaran cukup baik untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pemain,” katanya yang dihubungi di Doha semalam.


Kekalahan terbaru itu memberi tamparan hebat buat skuad Olimpik negara selepas kalah 1-0 kepada skuad kebangsaan Kemboja di Phnom Penh, Selasa lalu. Dalam aksi menentang Qatar di Stadium Jassim bin Hamad, Kim Swee tidak menurunkan penjaga gol utama yang juga kapten pasukan, Khairul Fahmi Che Mat dan pertahanan Mohd Zubir Azmi yang baru tiba di Doha kelmarin selepas mengharungi final Piala FA.

Ketiadaan dua tonggak itu nyata dirasai selepas gawang negara dibolosi seawal minit pertama dan minit kelapan menerusi jaringan penyerang, Hassan Al Haidous.


Qatar yang baru pulang menjalani latihan selama tiga bulan di Real Madrid menambah gol ketiga menerusi Murad Naji di minit ke-33 sebelum Abdulaziz Al Ansari melengkapkan bencana skuad negara pada babak pertama dengan gol keempat di minit ke-37.


Ketinggalan dengan jaringan besar pada separuh masa pertama menyukarkan anak buahnya untuk mencipta kebangkitan apatah lagi mereka mensia-siakan banyak peluang termasuk kegagalan pemain sayap, Fandi Othman menyempurnakan sepakan penalti.

“Kita cuba bangkit pada separuh masa kedua tapi Qatar bertahan dengan baik. Qatar sememangnya berada dalam kelas berlainan berbanding kita tapi itu bukan satu alasan. “Strategi kita terjejas selepas Qatar menjaringkan gol awal. Pemain sepatutnya fokus sebaik permainan bermula,” kata Kim Swee.



Skuad negara akan meneruskan latihan di Doha sebelum berangkat ke Beirut, esok bagi perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik menentang Lubnan di Stadium Sport City.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Jun ini. Malaysia layak beraksi ke pusingan kedua selepas melepasi halangan awal, menewaskan Pakistan menerusi agregat 2-0, Mac lalu.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...