KUALA TERENGGANU - Biarpun peluang untuk menjulang kejuaraan Liga Super semakin tipis setelah ketinggalan tiga mata kepada Kelantan dan satu mata kepada Selangor, Terengganu tetap memberikan yang terbaik dalam perlawanan terakhir menentang Felda United, 6 Julai ini.
Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti mahu aksi penutup tirai itu nanti diiringi sorakan kemenangan.
"Pemain keletihan pada perlawanan malam ini setelah memberikan persembahan lebih seratus peratus pada perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu.
"Justeru, saya akan beri pemain ruang untuk berehat empat atau lima hari untuk memulihkan prestasi mereka," katanya.
Pada perlawanan menentang T-Team kelmarin, skuad Irfan yang menang 3-2 sedikit pincang apabila turun tanpa kelibat empat tonggak utama, iaitu Joseph Kalang Tie, Mazlizam Mohamed, Mohd. Zubir Azmi dan penjaga gol, Sharbinee Allawee.
Kepincangan Terengganu terserlah pada babak pertama apabila T-Team mengawal permainan dengan baik menerusi hantaran pendek.
Terengganu mendahului lawan apabila Abdul Hadi Yahaya membuka jaringan pada minit ke-59 menerusi penalti, namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila pemain gantian T-Team, Samsul Kamal Mohamad mengikat penyamaan dua minit kemudian.
Indra Putra Mahyuddin kemudian menjaringkan gol kedua untuk T-Team pada minit ke-73 sebelum pemain gantian Terengganu, Md. Ailim Fahmi Kamaruddin pula menyamakan kedudukan menjadikan 2-2 seminit selepas itu.
Pada empat minit terakhir perlawanan, Abdul Manaf Mamat yang menerima lorongan cantik Hadi merembat kencang mengatasi penjaga gol pelawat, Mohd. Zairie Hafizie Ideris untuk gol kemenangan Terengganu.
Terengganu masih berpeluang untuk muncul juara Liga Super jika memenangi perlawanan terakhir keputusan sekurang-kurangnya 3-0, sambil berharap
Selangor tewas dalam perlawanan terakhir dan Kelantan pula tewas dengan jaringan besar iaitu empat gol atau lebih kepada lawan.
Pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahaya (kanan) diasak pemain T-Team, Nor Fazly Alias dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, kelmarin. Terengganu menang 3-2. |
No comments:
Post a Comment