Thursday, June 16, 2011

Karathu mahu Kelantan fokus mental

KELANTAN jelas mendapat semula keyakinan dan mahu terus menyambung rentak kemenangan apabila menentang Sabah dalam perlawanan terakhir Liga Super di Kota Kinabalu pada 6 Julai ini - hari penting yang bakal menentukan apakah mereka bakal bergelar juara baru. 

Ia juga hari bermakna buat juara bertahan, Selangor dan juara baru Piala FA, Terengganu yang memiliki peluang sama memburu pengiktirafan selaku pasukan bola sepak terbaik negara.

“Kami mempunyai masa panjang sebelum berkunjung ke Sabah dan saya harap pemain mampu memantapkan mental dan fizikal dalam menghadapi perlawanan terakhir Liga Super di tempat lawan nanti,” kata ketua jurulatih, Datuk M Karathu, semalam.


“Kita turun dengan misi menamatkan saingan Liga Super memburu kemenangan sekali gus untuk merealisasikan harapan mencapai gelaran liga musim ini.” 

Walaupun menang tipis 1-0 ke atas Perak di gelanggang sendiri, malam kelmarin, pengendali berkenaan tetap memuji kesungguhan anak buahnya bertarung dengan semangat juang tinggi. 

“Saya tak kisah berapa gol kita jaring kerana yang penting keputusan akhir perlawanan memberi tiga mata penting kepada Kelantan ketika saingan Liga Super semakin hampir kemuncaknya,” katanya. 

Norshahrul Idlan Talaha muncul wira pasukan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-53. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...