Wednesday, June 1, 2011

Pengurusan perlu banteras gejala rasuah dari awal

KEGAGALAN persatuan negeri bertindak tegas dari awal terhadap pemain yang disyaki terbabit dalam skandal ‘mengatur keputusan perlawanan’ menjadi punca gejala itu sukar dibendung dalam kancah Liga Malaysia, termasuk di Terengganu. 

Bekas pengurus pasukan Piala Presiden T-Team, Mohd Sabri Abas mendakwa, pengurusan tertinggi persatuan kebiasaannya enggan membabitkan pihak berkuasa dalam menangani masalah pemain yang disyaki.

Katanya, perkara sama pernah berlaku dalam skuad Piala Presiden Terengganu dan T-Team tahun lalu yang berakhir dengan penyingkiran sekurang-kurangnya lapan pemain selepas disyaki terbabit mengatur perlawanan.


“Kontrak pemain terbabit ditamatkan atas pelbagai alasan tetapi tidak dikaitkan dengan mengatur perlawanan menyebabkan mereka meneruskan kegiatan itu apabila bermain untuk pasukan lain,” katanya sambil tidak menolak pengurusan kekurangan bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan berkenaan. 

“Tetapi sepatutnya pengurusan membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya perkara itu dapat disiasat secara terperinci,” katanya. 

Mohd Sabri memuji sikap berani Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBSNS) yang membuat laporan polis terhadap pemain yang disyaki terbabit kerana berpendapat, itulah cara terbaik menyelesaikan gejala berkenaan daripada berleluasa dalam Liga-M. 

Mengulas lanjut dakwaannya ada pemain Piala Presiden Terengganu dan T-Team mengatur perlawanan tahun lalu, katanya, tidak semua pemain berhubung terus dengan wakil ‘bookie’ tetapi memang ada pemain menjadi dalang dan mewakili rakan sepasukan hingga sanggup menggadaikan maruah pasukan demi wang. 
Berdasarkan maklumat diterimanya, setiap pemain terbabit menerima RM5,000 dan RM10,000 bagi setiap perlawanan dan jumlah bayaran bergantung kepada kepentingan pemain dalam pasukan. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...