GEMBIRA dalam duka, itu reaksi jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris apabila melihat aksi goyah pemainnya ketika bertemu Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin yang berkesudahan skuad dari Pantai Timur itu menang tipis 1-0 hasil jaringan Francis Forkey Doe.
Menurutnya, jika corak itu dijadikan ukuran, Terengganu bakal melalui laluan berliku untuk mencatat kemenangan pertama apabila bertandang ke Vietnam bertemu kelab Song Lam Nghe An, esok, dalam saingan Piala AFC.
“Saya gembira kerana kita dapat mengutip tiga mata penuh malam di laman lawan tapi melihat aksi goyah pemain, saya cukup risau dan kurang senang dengan perkembangan ini apatah lagi bakal bertemu kelab dari Vietnam itu.
“Sepatutnya rehat panjang sebelum ini perlu digunakan sebaik mungkin pemain untuk mempamerkan aksi bertenaga dan corak permainan berkesan, namun pemain gagal memikul tanggungjawab dengan baik.
“Pemain terutama jentera serangan gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan, begitu juga barisan tengah yang kurang berfungsi dengan baik dan kealpaan pemain pertahanan jelas kelihatan,” katanya.
Selain itu, beliau juga hairan pemainnya gagal bermain dengan baik dan tidak konsisten selain mudah hilang bola serta terlalu membuka ruang kepada lawan berlegar dalam kawasan sendiri.
Bagaimanapun, Mat Zan yang pernah melakar kejayaan membawa Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada 2001 tetap optimis anak buahnya mampu bangkit mempamerkan aksi bertenaga apabila bertemu Song Lam Nghe An.
“Saya mempunyai pemain simpanan yang boleh diharapkan selain yakin kemampuan pemain yang disenaraikan mampu beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan itu nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment