Monday, June 6, 2011

Bayangan juara Piala FA

KOTA BHARU - Pertembungan dua jaguh pantai Timur, Kelantan dan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu dalam saingan Liga Super hari ini, disifatkan sebagai 'pembayang' siapa bakal memenangi final Piala FA di antara kedua-dua pasukan pada Sabtu ini.

Berdasarkan rekod pertemuan musim lalu, ia berpihak Red Warriors apabila menumbangkan skuad Penyu 3-0 pada pusingan kedua, selepas hanya seri tanpa jaringan di Kuala Terengganu.

Namun musim ini ceritanya berbeza apabila kedua-dua pasukan berkongsi mata pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammed IV, awal Februari lalu.

Tugas sukar menanti pengendali Kelantan Datuk M.Karathu untuk merencanakan ramuan terbaik untuk memastikan Red Warriors membawa pulang tiga mata dalam usaha untuk mengukuhkan cengkaman tangga teratas Liga Super.

Meskipun turun tanpa penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat serta pertahanan kental, Zairul Fitree Ishak yang digantung, ia tidak menjejaskan peluang Red Warriors.

Ketiadaan Khairul Fahmi membuka peluang kepada Mohd. Shahrizan Ismail.

Begitu juga dengan posisi Zairul Fitree, yang akan diambil alih oleh Abdul Aziz Ismail.

Kembalinya, Dausu Jamaludin daripada penggantungan, akan memantapkan semula pertahanan Kelantan bersama Mohd. Farisham Ismail, S.Subramaiam serta Abdul Aziz Ismail.

Mereka mampu mengekang jentera serangan tuan rumah yang diketuai oleh penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat.

Kelibat penggempur sensasi kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingan S.Chanturu sekali lagi ditagih oleh peminat Red Warriors untuk menembusi benteng pertahanan tuan rumah seterusnya mengecewakan Mohd. Sarbinee Alaweedi di gawang gol Terengganu.

Berlainan pula bagi pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, selepas dimalukan 0-1 oleh Kedah pada perlawanan lalu, mereka pastikan berjuang berhabis-habisan, untuk merampas puncak liga.

Turun tanpa kelibat dua tonggak iaitu perancang tengah Mohd. Assahari Samsudin yang digantung serta pemain pertahanan Helmi Rameli, yang menyarung jersi skuad Olimpik negara, ia bukan masalah besar buat pengendali berpengalaman itu.

Kelibat Marzuki Yusoff pastinya akan ditagih untuk mengekang jentera serangan Kelantan.

Gandingan Joseph Kalang Tie, Ismail Faruqi Asha'ri dan Reeshafiq Alwi akan merencanakan jentera tengah Terengganu.

Ketajaman penyudah Abdul Hadi Yahya pastinya ditagih oleh Terengganu untuk terus meledakkan gol. Pengalaman yang diraih bersama Harimau Malaya pada perlawanan dengan Hong Kong Jumaat lalu pasti akan gunakan sebaik mungkin dalam perlawanan ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...