Monday, June 13, 2011

Gol sendiri rentap semangat

KUALA LUMPUR – Gol penyamaan pada penghujung masa kecederaan babak kedua menjadi titik tolak Kelantan tersungkur daripada menggapai Piala FA buat kali pertama selepas perlawanan akhir menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Kelantan di ambang kemenangan hasil jaringan Nurul Azwan Roya pada minit ke-79 perlawanan akhir edisi ke-22, tetapi angkara gol sendiri Daudsu Jamaludin ketika cuba menghalang percubaan lawan, meranapkan segala impian mereka.

Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu mengakui gol yang digerakkan penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat mematahkan terus semangat perjuangan dan keinginan anak buahnya untuk bangkit dalam masa tambahan 30 minit.

“Gol pada minit-minit terakhir itu mematahkan langsung semangat pemain saya. Memang bukan mudah untuk memulihkannya walaupun dalam 30 minit masa tambahan. Sebaliknya lawan yang lebih yakin dan bertambah bersemangat sehingga beroleh gol kedua.

“Saya memang sudah jangka perlawanan pasti sengit tetapi Kelantan sepatutnya mengawal bola dan tidak mudah hilang bola terutama pada saat-saat genting itu (masa kecederaan babak kedua),” katanya, yang kecewa apabula terlepas peluang untuk menambah koleksi gelaran musim ini selepas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah, Januari lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...