JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim meluah- kan rasa marah dan kecewa apabila sesi latihan terakhir pasukannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam ‘diintai’ lawan mereka, Kelantan.
Kehadiran para pemain Kelantan lebih awal daripada waktu ditetapkan bagi Irfan telah mengganggu sesi latihan pasukan Terengganu, terutamanya untuk mereka membuat latihan sepakan penalti.
“Sepatutnya mereka (pasukan Kelantan) tiba di stadium pada pukul 5.30 petang kerana sesi latihan kami patut berakhir pada pukul 5.45 petang. Tetapi mereka sudah tiba ketika kami baru saja mula latihan.
“Saya cukup kecewa. Bukan sebab kami nak buat taktikal saat akhir pun tetapi ia menyebabkan perasaan tidak selesa. Ia sesuatu yang tidak beretika, melihat pasukan lawan berlatih.
“Sebab itulah juga saya terpaksa membatalkan latihan sepakan penalti kerana nanti Kelantan akan tahu pemain mana akan sepak ke kiri atau kanan,” kata Irfan ketika ditemui selepas sesi latihan itu.
Biarpun ia mungkin dianggap perkara remeh, namun harus diingat bahawa lima final terakhir Piala FA (2006- 2010) menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti kecuali pada final 2008.
Namun Irfan tetap melaungkan keyakinan bahawa Terengganu akan bergelar juara Piala FA musim ini seterus- nya menempah tiket beraksi di Piala AFC 2012.
“Insya-Allah kami akan menang. Saya cukup yakin dan optimis ditambah kehadiran semula Ashari Samsudin dan Zubir Azmi yang tidak beraksi pada Isnin lalu.
“Lagipun kami sudah melupakan kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi Liga Super itu. Ketika itu, lima pemain kami keletihan kerana baru pulang dari Hong Kong beraksi untuk skuad kebangsaan,” jelas Irfan.
Sementara itu, jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu tampak lebih tenang dari raut wajahnya tetapi tidak mahu para pemainnya terlalu yakin dengan kemenangan pada aksi Liga Super itu.
“Perlawanan itu sudah berlalu dan ini final, satu perla- wanan yang berbeza. Memang kami akan turun dengan pendekatan berbeza untuk menghadapi 90 minit yang cukup penting ini.
“Tetapi dari segi permainan dan taktikal, kita tidak akan melakukan perbezaan. Cuma saya harap para pemain dapat beraksi pada tahap sebenar,” ujar Karathu.
No comments:
Post a Comment