Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, berkata beliau amat mengharapkan setiap pemain yang bakal diberikan tugas menggalas cabaran, memberikan tumpuan sepenuhnya kepada misi melakar kemenangan dengan memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri.
Katanya, kelebihan itu tidak harus dipersia-siakan sebaliknya pemain perlu memberikan persembahan terbaik kerana hanya kemenangan ke atas T-Team mampu mengelak pasukan daripada berada dalam kelompok penyingkiran saingan liga berprestij itu musim depan.
“Jika melihat kepada kedudukan pasukan dalam carta liga ketika ini, saya percaya setiap pemain memahami apa yang perlu mereka lakukan sebaik turun menentang T-Team,” katanya.
Menurut Wan Jamak, beliau sudah mengenalpasti senarai barisan terbaik yang bakal diturunkan sekali pun terdapat beberapa pemain utama kurang cergas antaranya penyerang, Khairuddin Omar dan Mohd Firdaus Azizul.
Azraai berkata, gandingan Shahurain Abu Samah dan Mohd Shaffik Abd Rahman hampir pasti menjadi taruhan di barisan depan, namun tidak menolak kemungkinan akan menagih khidmat pemain muda dari skuad Piala Presiden iaitu Mohd Khairul Ridzwan untuk mempertajamkan lagi barisan utama itu.
Beliau juga lega apabila bekas pertahanan kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah dan pengemudi jentera tengah, Idris Karim, sudah pulih daripada kecederaan sekali gus berupaya memantapkan lagi kekuatan setiap posisi.
“Saya harap dua pemain kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan S Kunalan yang beraksi pada perlawanan persahabatan dengan Hong Kong, berada pada tahap prestasi terbaik dan dapat diturunkan untuk pastikan kekuatan semua bahagian seimbang,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment