KUALA LUMPUR - Pertembungan dua pasukan pantai timur antara Kelantan dan Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini berjaya mengundang debaran peminat bola sepak tanahair setelah mereka membuktikan kehebatan masing-masing di pentas Liga Super.
Malah, kedua-dua pasukan nampaknya cukup optimis untuk menghitung pertemuan di pentas akhir itu, lebih-lebih lagi Terengganu yang mahu menebus maruah setelah dihampakan Kelantan dalam aksi Liga Super, Isnin lalu.
Bagaimanapun, Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh tidak beranggapan perlawanan akhir menentang Kelantan, hari ini sebagai medan untuk membalas dendam dan ia juga tidak sama seperti pertembungan Liga Super.
"Kami sudah bersedia kali ini. Pertemuan menentang Kelantan memang amat menarik dan harapan kami adalah untuk menamatkan kemarau 10 tahun selepas kali terakhir memenangi Piala FA mengalahkan Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini semalam.
Beliau berkata, segala kelemahan selepas mereka tewas 0-3 sebelum ini dijangka dapat diatasi sebaiknya pada perlawanan akhir, seterusnya dapat menjulang piala pertama musim ini dan membawa pulang Piala FA ke Terengganu.
Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, kemenangan perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi pengubat kekecewaan dua tahun lalu.
Pada 2009 mereka beraksi di perlawanan akhir menentang Selangor, namun gagal untuk menjulang piala buat pertama kali selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti.
"Saya berharap tahun ini tuah menjadi milik Kelantan, terutama sekali dengan sokongan padu yang akan diberikan oleh penyokong kami, sejarah akan tercipta lagi jika berjaya memenangi piala ini," ujarnya.
Bagaimanapun, Azman tidak mahu menjadikan keputusan perlawanan Isnin lalu ke atas Terengganu sebagai ukuran kerana perlawanan akhir sangat berbeza, apa sahaja boleh berlaku.
No comments:
Post a Comment