Saturday, March 3, 2012

Rehat panjang tak ganggu rentak Selangor


Harian Metro

TEMPOH rehat dua minggu tanpa aksi persahabatan kompetitif diharap tidak mengganggu rentak permainan Selangor yang turun memburu tiga mata menentang Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam ini.


Kapten skuad Merah Kuning, Mohd Amri Yahyah berkata, tempoh terbabit digunakan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain bagi mengharungi saingan musim ini yang semakin mencabar.




“Ia baik untuk kami. Saya harap kami mampu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Kelantan (Liga Super) dan Shahzan Muda (Piala FA) bulan lalu sebelum Liga Malaysia ditangguhkan,” katanya yang kini semakin yakin dan serasi bersama Bosko Balaban untuk mengetuai jentera serangan Selangor.




Namun di sebalik keyakinan itu, Amri tetap mengingatkan rakan sepasukan agar waspada apabila turun menentang tuan rumah walaupun skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan itu berada pada kedudukan kedua terbawah selepas mengharungi lapan perlawanan dengan satu kemenangan.

“Setiap pasukan yang beraksi di tempat sendiri pasti tidak mahu mensia-siakan peluang meraih tiga mata penuh. “Malah mereka tidak tewas dalam empat perlawanan terakhir termasuk saingan pusingan pertama Piala FA,” kata pemain paling lama dalam skuad Selangor itu.


Selain kehadiran semula pengendali berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan yang menjalani hukuman penggantungan, skuad yang pernah meraih enam piala dalam tempoh dua musim itu turut diperkuat kehadiran dua tonggak import, Abdelfatah Safi dan Hamidan Mohamed.





Irfan Bakti berpeluang menurunkan kesebelasan terbaik kecuali perancang tengah, K Gurusamy yang masih cedera bagi memperbaiki kedudukan liga.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...