Saturday, March 3, 2012

Eaton beri penjelasan


Harian Metro

SELEPAS berdiam diri, Ketua Keselamatan Fifa, Chris Eaton akhirnya sedia memberikan penjelasan terperinci kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kenyataan ‘panas’ beliau yang mengaitkan pegawai badan induk bola sepak tanah air dengan gejala mengatur keputusan perlawanan.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Eaton dijangka tiba di Kuala Lumpur minggu depan untuk mengadakan pertemuan dengan FAM bagi merungkai persoalan berhubung dakwaannya yang disiarkan akhbar Straits Times Singapura pada 16 Februari lalu.




“Kami masih tidak mendapat penjelasan berhubung isu itu dari Eaton, setakat ini tapi kami dimaklumkan beliau akan datang minggu depan untuk bertemu FAM. Namun buat masa ini, tarikh pertemuan itu belum ditentukan,” kata Azzuddin ringkas ketika dihubungi Arena Metro semalam.




Sebelum ini FAM bertindak tegas dengan mengemukakan surat kepada Eaton menuntut penjelasan kenyataan yang dianggap mencalar imej persatuan kebangsaan itu yang berusaha memerangi gejala rasuah dilapor makin menular dalam Liga Malaysia.

Menerusi laporan Straits Times, bekas pegawai Interpol itu mendakwa skandal mengatur keputusan perlawanan bukan hanya membabitkan pemain dan jurulatih, malah pegawai FAM.


Selang beberapa hari selepas Eaton mengeluarkan kenyataan itu, beliau meletak jawatan untuk menyertai Pusat Keselamatan Sukan Antarabangsa di Doha selaku Pengarah Integriti Sukan. Namun beliau masih lagi bersama Fifa sebelum memulakan tugas baru itu hujung April ini. Eaton sebelum ini pernah berkunjung ke Kuala Lumpur tahun lalu dan mengadakan pertemuan bersama pegawai tertinggi FAM bagi merancang usaha bersepadu membanteras rasuah.





Sementara itu dalam perkembangan lain, Azzuddin mengesahkan pihaknya tidak akan mengemukakan permohonan untuk membida hak tuan rumah Kejohanan Piala AFC Bawah 23 Tahun Jun ini berikutan jadual Liga-M yang padat.

“Pada tarikh itu jadual liga kita agak padat dan kita tidak boleh melakukannya (menjadi tuan rumah),” katanya.


Sebelum ini, jurulatih skuad Bawah 22 negara, Ong Kim Swee mencadangkan FAM membida menjadi penganjur kejohanan kali pertama itu bagi membolehkan peminat tempatan memberikan sokongan.

Dalam kempen kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Taiwan dan Filipina.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...