Thursday, March 1, 2012

Shakir selamat maruah


SHAKIR...jaring gol penyamaan pada masa kecederaan.



HARIMAU MALAYA kendalian Datuk K Rajagobal perlu berusaha lebih keras sekiranya ingin mempertahankan kejuaraan Piala AFF yang berlangsung di negara sendiri hujung tahun ini selepas hampir dikejutkan Filipina.


Dalam aksi persahabatan antarabangsa pertama tahun ini di Stadium Memorial Rizal malam tadi, reputasi negara selaku jaguh Asia Tenggara nyata tidak menggentarkan tuan rumah apabila anak buah Rajagobal terpaksa menunggu jaringan masa kecederaan Ahmad Shakir Ali untuk menyelamatkan maruah negara dan mengikat Filipina, 1-1.




Pada pertemuan menentang skuad yang mara ke separuh akhir Piala AFF 2010, barisan pertahanan skuad negara dikejutkan dengan lontaran jauh Jason Sabio yang membuka ruang kepada pemain berdarah kacukan Jerman, Denis Wolf, bertindak berani melakukan tandukan terbang bagi menewaskan Mohd Farizal Marlias di gawang negara pada minit ke-34 sekali gus menggembirakan ribuan penyokong tempatan.




Namun aksi babak pertama jelas seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan walaupun dalam keadaan padang kurang memuaskan dengan Rajagobal menguji beberapa pemain baru seperti S Subramaniam, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd Bunyamin Omar serta Abdul Manaf Mamat dengan penyerang sensasi negara, Mohd Safee Sali mengetuai jentera serangan.

Namun ia belum menggerunkan lawan apabila meraih enam percubaan tepat dengan salah satunya menggegar gawang dalam babak pertama berbanding skuad negara yang hanya meraih tiga percubaan tepat sepanjang 45 minit pertama.


Sedar situasi semakin terdesak, jentera tengah skuad negara yang dikemudi Safiq Rahim dan Amar Rohidan menggandakan asakan dengan beberapa peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan, namun gagal membuahkan hasil.





Akhirnya selepas beberapa pertukaran, termasuk memasukkan dua penyerang iaitu Mohd Zaquan Adha Abd Radzak dan Ahmad Shakir bagi menguatkan jentera serangan, Malaysia akhirnya menyamakan kedudukan pada minit pertama masa kecederaan apabila Ahmad Shakir, penyerang Negeri Sembilan, meledak gol penyelamat maruah selepas menerima hantaran Safee.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...