Thursday, March 1, 2012

‘Usah hanya harap Balaban’


Harian Metro

PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tidak mahu barisan pemainnya terlalu bergantung kepada kelibat penyerang importnya, Bosko Balaban untuk meledak jaringan apabila menentang Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar, Sabtu ini.


Bekas penyerang kebangsaan Croatia berusia 34 tahun itu mempamerkan sentuhan berbisa apabila meledak dua gol dalam dua penampilan pertama bersama Selangor dan dijangka menjadi tumpuan barisan pertahanan Kedah dalam usaha menafikan keputusan perlawanan memihak kepada pelawat.




“Memang saya akui kehadiran Balaban menguatkan jentera serangan. Namun pemain lain kena bijak mengambil peluang untuk turut menjaringkan gol bagi membantu kemenangan pasukan. Saya ingin mengingatkan semua pemain agar tidak terlalu bergantung kepadanya,” katanya.




Irfan Bakti turut berharap tempoh rehat dua minggu itu tidak akan merencatkan rentak kemenangan pasukannya yang menewaskan juara bertahan Liga Super, Kelantan (2-1) selain Shahzan Muda (4-0) dalam Piala FA sebelum Liga Malaysia berehat.

“Ia seharusnya berterusan dan saya harap beberapa pemain utama termasuk pemain pertahanan, Ramez Dayoub (Lubnan) yang bersama skuad kebangsaan dapat kembali menguatkan pasukan tanpa sebarang kecederaan,” katanya.


Menurut Irfan Bakti, cabaran Kedah yang berada di bawahan liga tidak boleh dipandang rendah terutamanya dengan kehadiran semula pengendalinya, Wan Jamak Wan Hassan selain tidak tewas dalam tiga perlawanan terakhir termasuk mengikat gergasi Liga Malaysia, Terengganu dengan keputusan 1-1.





Pada musim ini Selangor mensasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala selepas menamatkan musim lalu tanpa sebarang kejuaraan dalam genggaman.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...