Saturday, March 3, 2012

Tanjung Pagar mangsa kedua


Harian Metro

SKUAD Harimau Muda A tidak berdepan masalah mencatat kemenangan kedua dalam kempen Liga Singapura (Liga-S) musim ini apabila menewaskan Tanjung Pagar United, 3-0 di Stadium Yishun, semalam.


Kemenangan itu yang kedua dicatat skuad kendalian Ong Kim Swee selepas meraih tiga mata penuh mengalahkan Gombak United 2-0 pada penampilan sulung Liga-S, awal bulan lalu.




Beraksi di gelanggang sendiri buat kali pertama, Harimau Muda A lebih banyak menguasai permainan meskipun beraksi tanpa kapten, Mahali Jasuli yang mengalami kecederaan kaki ketika beraksi dengan skuad Olimpik menentang Jepun minggu lalu.




Harimau Muda A membuka tirai jaringan menerusi penyerang tunggal, Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-14 sebelum Gary Steven Robbart menjadikan kedudukan 2-0 sebelum babak pertama berakhir.

Bersambung separuh masa kedua, anak buah Kim Swee terus mengasak dalam usaha memburu gol ketika Tanjung Pagar yang belum mencatat sebarang kemenangan selepas dua perlawanan lebih banyak bertahan.


Di penghujung permainan, pasukan pelawat terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain pertahanan, Hafiz Osman dilayang kad merah oleh pengadil, Muhd Taqi kerana mengasari pemain Harimau Muda A dalam kotak penalti.





Sepakan penalti yang dihadiahkan kepada skuad muda negara tidak disia-siakan penyerang gantian, A Thamil Arasu yang tenang menewaskan penjaga gol Tanjung Pagar, Shamsudin Hashim untuk mengesahkan kemenangan 3-0.

Kejayaan ini membolehkan Harimau Muda A melonjak ke tangga kedua liga dengan mengumpul enam mata, ketinggalan tiga mata kepada pendahulu Albirex Niigata FC yang sudah beraksi tiga perlawanan.




Kemampuan Harimau Muda A bakal teruji apabila turun menentang Albirex Niigata di Stadium Yishun pada 18 Mac ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...