KUALA TERENGGANU - "Saya berjanji tidak akan ulangi kesilapan yang sama dan akan beri tumpuan 110 peratus pada final Piala FA nanti,".
Itu kata penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli, 25, yang dikritik jurulatih sendiri, Irfan Bakti kerana melepaskan dua gol mudah ketika skuad Penyu kalah 0-3 kepada Kelantan pada perlawanan Liga Super, Isnin lalu.
Menurut Sharbinee, dia tidak akan membiarkan kekesalan menghantuinya dan bertekad melupakan aksi yang mengecewakan ribuan penyokong ketika menentang Kelantan.
Sharbinee, yang ditemui semasa sesi latihan terakhir petang semalam, tidak menunjukkan reaksi tergugat dengan kekalahan 0-3 kepada Kelantan.
Dua daripada jaringan pasukan lawan Isnin lalu dikaitkan dengan kesilapannya, yang dianggap tidak sepatutnya dilakukan sebagai penjaga gol kebangsaan.
Menurut anak jati Kuala Terengganu itu, dia akan melakukan yang terbaik pada perlawanan akhir dan tidak akan membiarkan 'pisang berbuah dua kali'.
"Semua pemain termasuk saya tidak dapat beraksi dengan baik ketika kami kalah 0-3 kepada Kelantan tempoh hari.
"Namun perlu diingat, suasana beraksi pada final nanti sangat berbeza berbanding perlawanan liga dan kami akan bangkit semula selepas ini," katanya.
Sharbinee dikritik kerana didakwa menjadi punca kepada kekalahan skuad Penyu kepada Red Warriors Isnin lalu, gara-gara meninggalkan gawang terlalu jauh sehingga memudahkan lawan menjaringkan gol.
Sharbinee menganggap kritikan yang dilemparkan terhadapnya sebagai satu cabaran untuk dia meningkatkan tahap permainan pada final nanti.
Katanya, dia akan memberikan yang terbaik sekiranya diturunkan jurulatih, Irfan Bakti pada perlawanan Sabtu ini.
"Secara peribadi, final Piala FA ini adalah final pertama dalam karier saya sebagai seorang pemain bola sepak Terengganu.
"Jadi, saya berharap kami akan menewaskan Kelantan nanti," katanya.
Sharbinee merupakan sebahagian daripada anggota skuad Bawah 23 negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Sea Laos 2009.
No comments:
Post a Comment