KUALA TERENGGANU - Biarpun kecewa dengan kekalahan kepada Kelantan pada Liga Super Isnin lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tetap menaruh harapan Terengganu mampu bangkit untuk menjuarai Piala FA Sabtu ini.
Ahmad, yang juga Penaung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berharap para pemain Terengganu memanfaatkan sepenuhnya tempoh tiga hari sebelum perlawanan akhir Sabtu ini untuk memperbaiki segala kelemahan sebelum menentang Kelantan.
"Kita harap skuad Terengganu perbaiki mutu permainan serta kelemahan sebagai persediaan menghadapi lawan (Kelantan) pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau turut berharap penampilan semua pemain utama, Terengganu akan 'berubah' pada perlawanan akhir, berbeza dengan aksi mereka ketika tewas 0-3 kepada Kelantan di gelanggang sendiri Isnin lalu.
Malah, Ahmad percaya Terengganu akan lebih bersedia menjelang final nanti memandangkan para pemain masih mempunyai banyak masa untuk kembali fokus dalam usaha membawa pulang Piala FA.
Mengenai kekalahan Terengganu kepada Kelantan tempoh hari, beliau mengakui skuad Penyu tidak sepatutnya melakukan banyak kesilapan sehingga membuka ruang kepada lawan meraih kemenangan.
"Memang tak sepatutnya berlaku kesilapan.
"Namun dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Kita masih ada masa untuk lebih fokus dan kita harap para pemain tunjukkan komitmen tinggi pada final nanti," ujarnya.
No comments:
Post a Comment