Thursday, June 9, 2011

Terengganu ditaja kasut khas RM1,200 sepasang

KUALA TERENGGANU - Bagi merangsang momentum, skuad Penyu menerima tajaan kasut bola jenama Adidas bernilai lebih RM30,000 daripada seorang usahawan, Marzuki Sulong.

Kasut bernilai kira-kira RM1,200 sepasang itu ditempah khas oleh Marzuki, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Setiu, dengan paparan tulisan 'final Piala FA 2011' serta nombor jersi setiap pemain.

Ia disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Sheikh Tajudin Sheikh Yusof kepada 31 pemain serta pegawai pasukan.

"Kita bertuah kerana ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan biarpun baru melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.

"Justeru, dengan adanya sumbangan peribadi ini, ia diharap akan menyuntik lebih semangat kepada pemain untuk beraksi cemerlang dalam final Piala FA menentang Kelantan nanti," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita semasa majlis penyerahan kasut bola itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Sheikh Tajudin mengharapkan para pemain memberikan yang terbaik sebagai ganjaran di atas keprihatinan pelbagai pihak terhadap skuad bola sepak negeri ini.

"Mungkin kekalahan (0-3) kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super tempoh hari akan lebih membakar semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang nanti," katanya.

Ketua pasukan Terengganu, Mohd. Mazuki Yusof (kanan) dan Rooney Harun menunjukkan kasut khas yang disumbangkan oleh seorang usahawan sempena final Piala FA Sabtu ini pada sesi latihan skuad Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...