Thursday, June 9, 2011

Kelab penyokong yakin Kelantan mampu tumbangkan Terengganu

KOTA BHARU - Kelab penyokong siber bola sepak Kelantan, kelate.net, yakin Red Warriors mampu menumbangkan Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini.

Presidennya, Mohd. Khairi Yazid berkata, kemenangan selesa 3-0 Kelantan ke atas Terengganu dalam aksi Liga Super Isnin lalu merupakan tonik berharga buat Red Warriorsmenjelang perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Inilah peluang terbaik buat Red Warriors untuk mencipta satu lagi kejayaan selepas berjaya membawa pulang dua piala iaitu Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

"Sekiranya berjaya merangkul kejuaraan Piala FA musim ini, satu lagi sejarah baru dalam bola sepak Kelantan akan tercipta sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1990," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohd. Khairi bagaimanapun berkata, barisan pemain Kelantan tidak boleh leka dengan kejayaan tersebut sebaliknya perlu memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan akhir nanti.

"Saya yakin dan percaya Terengganu akan turun bermati-matian pada perlawanan tersebut untuk menebus kembali aib selepas dimalukan Kelantan.
"Namun begitu, Kelantan pasti tidak akan memberi laluan mudah buat Terengganu pada perlawanan tersebut dalam memastikan juara menjadi milik kita," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Khairi memberitahu pihaknya akan terus meniupkan semangat kepada pemain Kelantan supaya memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan tersebut.

"Kami menyediakan 10 buah bas untuk membawa para penyokong ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. Dengan kerjasama beberapa lagi persatuan anak Kelantan di perantauan, kita akan membuat jamuan kesyukuran sempena kejayaan mara ke perlawanan akhir di Kampung Medan, Petaling Jaya.

"Selepas itu, kita akan berkonvoi Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberikan sokongan kepada skuad Red Warriors," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...