Thursday, June 9, 2011

Menteri kecewa Harimau Malaya kalah mengejut

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kecewa dengan kekalahan mengejut skuad Olimpik kebangsaan kepada pasukan kerdil, Kemboja pada aksi persahabatan di Phnom Penh, kelmarin.
Sehubungan itu, beliau mahu skuad kendalian Ong Kim Swee segera mengenalpasti segala kelemahan dan memperbaikinya sebelum bertandang ke Lebanon pada 19 Jun bagi perlawanan pusingan kedua Kelayakkan Olimpik zon Asia.
Ahmad Shabery juga memberi amaran kepada pemain kebangsaan supaya tidak terlalu alpa dengan kejayaan lampau dan bersikap terlebih yakin.
"Kita mungkin telah melakar kejayaan menang pingat emas pada Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki sebelum ini, tapi jangan anggap kita kini lebih kuat daripada Kemboja, Laos dan Myanmar kerana taraf bola sepak mereka juga sudah membangun.
"Jadi saya harap kekalahan kepada Kemboja semalam dijadikan sebagai pengajaran berguna," kata Ahmad Shabery selepas pelancaran program realiti televisyen 'The Challenger Muay Thai' di Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.
Ahmad Shabery menambah, baik skuad Harimau Malaya mahupun Harimau Muda harus membuktikan Malaysia tidak menjuarai Sukan SEA dan Piala AFF secara kebetulan.
"Kita perlu buktikan bahawa kita tidak menang kerana nasib. Pencapaian skuad negara selepas ini harus konsisten, terutamanya mengharungi agenda utama kita iaitu kelayakkan Piala Dunia dan Kelayakkan Olimpik," jelasnya.
Sementara itu, rancangan realiti TV 'The Challenger Muay Thai' yang akan disiarkan menerusi saluran AXN (Astro 701) dan AXN HD (Astro 721) mulai Oktober depan, menampilkan 16 pahlawan Muay Thai bertaraf dunia. Penggambaran akan dilakukan di Malaysia.
Peserta akan merebut hadiah wang tunai utama bernilai AS$100,000 (RM301,750) dan gelaran Juara Dunia Muay Thai.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...