KOTA BHARU – Kemenangan 3-0 Kelantan ke atas Terengganu dalam aksi Liga Super kelmarin memberikan kelebihan psikologi menjelang pertemuan akhir Piala FA kedua-dua pasukan di Stadium Bukit Jalil.
Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu mengakui kemenangan pada perlawanan tersebut melonjakkan moral barisan pemainnya untuk sekali lagi berhadapan dengan Terengganu Sabtu ini.
“Kemenangan ini merupakan bekalan semangat yang penting buat Kelantan sebelum melangkah ke perlawanan akhir Sabtu ini.
“Lebih manis kita berjaya menewaskan mereka 3-0 di Kuala Terengganu.
“Kita bersedia untuk ke Bukit Jalil, namun kita tidak akan mengambil rendah kemampuan pihak lawan dan mereka pasti akan bangkit selepas ini,” katanya.
Pengendali berpengalaman itu turut memuji pemainnya yang menunjukkan permainan terbaik.
“Saya gembira dengan apa yang telah mereka tunjukkan pada perlawanan itu. Kemenangan itu cukup baik buat kita untuk mencerahkan lagi peluang merangkul kejuaraan Liga Super buat kali pertama dalam sejarah.
“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh barisan pemain. Mereka menunjukkan satu disiplin yang tinggi dan bermain secara satu pasukan dengan cara bertahan dan kemudian menyerang,” ujarnya.
Tambahnya, untuk baki dua perlawanan selepas ini, beliau akan membuat persedian rapi dalam memastikan Kelantan tidak tercicir tiga mata penting.
“Saya tidak akan mengambil mudah perlawanan selepas ini, apa yang penting fokus dan sentiasa bekerja keras merupakan kunci kejayaan jika kita mahu menang dalam baki dua perlawanan selepas ini,” katanya.
Kemenangan ke atas Terengganu menyaksikan Kelantan mengukuhkan cengkaman di puncak liga dengan kelebihan dua mata terhadap pencabar terdekat, Selangor.
No comments:
Post a Comment