PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyerahkan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatannya (JKPT) untuk menentukan bentuk tindakan susulan berdasarkan keputusan mahkamah berhubung pertuduhan rasuah ke atas jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan.
Ditanya sama ada semua keputusan Piala Presiden musim ini bakal digantung atau dirombak, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam, secara ringkas berkata: "Ia terpulang kepada jawatankuasa itu."
Beliau enggan mengulas lanjut memandangkan kes itu akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Seremban 7 Julai ini, dikhuatiri akan mengganggu proses perbicaraan.
Kelmarin, jurulatih berkenaan, Yusarman Yusof, 35, mengaku tidak bersalah di mahkamah itu atas 21 pertuduhan menyogok 11 pemainnya, antara RM200 hingga RM2,000 bagi perlawanan menentang SDM Navy di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April lalu.
Sementara itu, kata Azzuddin, hanya perlawanan persahabatan skuad kebangsaan dengan Myanmar dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada pukul 8.45 malam 18 Jun ini, berdasarkan kelulusan AFC.
"Bagi perlawanan Kelayakan Olimpik dan Kelayakan Piala Dunia dengan Lebanon dan Taiwan pada 19 dan 29 Jun, ia tidak dapat dijalankan di situ kerana kemungkinan besar aksinya di Stadium Nasional, Bukit Jalil di samping persahabatan dengan tiga kelab Liga Perdana England (bulan depan)," katanya.
Menurutnya, ia kali pertama dalam tempoh antara empat hingga lima tahun, perlawanan antarabangsa diadakan di luar Lembah Klang dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diberikan penghormatan sebagai tuan rumah selain membuka peluang penyokong skuad negara di Pantai Timur menontonnya.
"Tiket perlawanan dengan Myanmar berharga RM15 bagi tempat duduk terbuka, RM30 dan RM50 bagi grandstand dan kanak-kanak cuma RM5," katanya.
Mengenai persediaan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal, katanya, seramai 26 hingga 28 pemain akan dipanggil menjalani latihan pusat di Wisma FAM mulai 15 Jun dan mereka akan berlepas ke ibu negeri Kelantan itu sebelah pagi, sehari sebelum menentang Myanmar.
No comments:
Post a Comment