Tuesday, June 7, 2011

Liverpool uji Harimau Malaya

Arsenal, Chelsea turut adakan perlawanan persahabatan dengan Malaysia

DATUK K Rajagobal akan menjadikan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Arsenal, Liverpool dan Chelsea sebagai medan ujian terakhir sebelum perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2014 bertemu Singapura.

Bagaimanapun menurut ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan itu, anak didiknya terlebih dulu perlu melepasi halangan Taiwan akhir bulan ini di sebalik sifat yakin betapa tugasan itu mampu dibereskan selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam siri tiga perlawanan persahabatan antarabangsa sejak Februari lalu.

“Ini adalah peluang terbaik untuk pemain kita bermain dengan kelab terkemuka,” kata Rajagobal selepas majlis pelancaran siri Jelajah Asia 2011 Liverpool ke ibu negara semalam. “Peluang sebegini tidak datang selalu. Saya mahu pemain bermain secara konsisten dan menampilkan aksi terbaik sambil cuba untuk belajar sesuatu daripada pemain bintang ini.


“Sebagai jurulatih, saya yakin kita akan layak ke pusingan kedua (kelayakan Piala Dunia) bertemu Singapura. Jadi perlawanan persahabatan dengan tiga kelab ternama ini akan membantu kita dalam persediaan untuk perlawanan penting itu nanti. 

“Sasaran utama sekarang ialah melepasi pusingan kelayakan Piala Dunia, jadi saya tidak mahu memberi tekanan kepada pemain untuk mencapai keputusan tertentu pada siri perlawanan persahabatan ini. Saya hanya boleh arahkan mereka untuk memberi persembahan terbaik.”

Liverpool akan menemui peminat tempatan buat pertama kali di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 16 Julai. “Ini adalah lawatan pertama kami ke Malaysia dan kami tahu Liverpool FC mempunyai ramai peminat di sini,” kata pengarah urusannya, Ian Ayre, semalam.

“Pemain Liverpool tampak ghairah mahu ke Malaysia, terutamanya ketua pasukan, Steven Gerrard yang belum pernah menjejak kaki ke Malaysia. 

“Liverpool FC mengambil serius perlawanan ini sebagai medan penting bersedia untuk musim besar, serta peluang terbaik buat peminat kami bertemu wira mereka. Selama saya di Malaysia, saya dapat lihat jumlah penyokong Liverpool di sini cukup besar dan kami amat menghargainya.”

Selain Malaysia, Liverpool akan berkunjung ke Guangzhou, China dan turut mengadakan perlawanan dengan pasukan Guangdong Sunray Cave pada 13 Julai. Tiket untuk perlawanan menentang Malaysia berharga RM58, RM68, RM108 dan RM388 yang boleh ditempah menerusi dalam talian di www.ticketpro.com.my sementara Standard Chartered Bank (Malaysia) menawarkan jualan tiket sehingga 9 Jun.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...