KUALA TERENGGANU - Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di laluan yang membabitkan penyokong bola sepak Kelantan dan Terengganu menjelang perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid berkata, kawalan itu ditingkatkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan penyokong kedua-dua pasukan.
Katanya, antara laluan yang dijangka menjadi keutamaan ialah di Plaza Tol Bentong, Pahang yang menjadi titik pertemuan antara kedua-dua penyokong dalam perjalanan ke sana.
Arahan juga telah dikeluarkan kepada setiap Ketua Polis Daerah yang berkenaan untuk berkawal di beberapa laluan lain yang boleh dianggap panas.
"Saya berharap segala-galanya akan berjalan lancar dan para penyokong kedua-dua pasukan dinasihatkan supaya tidak membawa masuk budaya liar ke dalam stadium nanti," katanya kepada pemberita di pejabat Unit Simpanan Persekutuan (FRU) negeri, semalam.
No comments:
Post a Comment