Wednesday, June 8, 2011
Padah buat silap
APA sudah jadi dengan skuad Olimpik negara apabila mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada skuad kebangsaan Kemboja, 1-0 pada aksi persahabatan, semalam sekali gus memberi tamparan hebat buat jurulatih Ong Kim Swee menjelang misi utama perlawanan pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik menentang Lubnan 19 Jun ini.
Menurut Kim Swee, sikap ambil mudah anak buahnya ternyata membawa padah apabila mereka gagal bangkit sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri selepas ketinggalan satu gol pada awal babak pertama menerusi jaringan Kouch Sokumpheak.
“Saya hanya boleh menilai prestasi pemain dalam tempoh 60 minit sebelum hujan lebat, saya sudah menjangkakan perlawanan dengan skuad kebangsaan Kemboja ini bukan mudah.
“Pemain harus ingat, selepas kita menjuarai Piala AFF dan Sukan Sea, jangan ingat pasukan lain tidak membuat persiapan. Kekalahan ini pengajaran berguna buat pemain supaya tidak mengambil mudah kerana gol yang kita lepaskan adalah atas sebab kesilapan sendiri,” katanya selepas perlawanan.
Sebaik permainan bermula, pasukan tuan rumah kendalian Lee Tae-Hoon dari Korea beraksi lebih kemas dengan permainan pantas sehingga menyukarkan pemain negara khususnya di bahagian tengah yang diterajui Gary Steven Robbart berfungsi dengan baik.
Selepas 10 minit beraksi, Kemboja yang bermain di laman sendiri berjaya membuka tirai jaringan apabila penyerang lincah, Sokumpheak berjaya memperdayakan dua pemain pertahanan, Mahali Jasuli dan Mohamad Muslim Ahmad sebelum melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat.
Satu-satunya percubaan terbaik diperoleh skuad negara yang hampir kesemuanya pemain Harimau Muda A kecuali pemain pertahanan dari Terengganu, Mohd Zubir Azmi adalah menerusi percubaan Mohd Fandi Othman namun sepakannya mudah dibaca penjaga gol lawan.
Aksi keras ditunjukkan Malaysia menyebabkan tiga pemain Izzaq Faris Ramlan, Gari dan Mahali di layangkan kad kuning pada babak pertama.
Permainan anak buah Kim Swee tidak banyak berbeza pada babak kedua sehingga memaksa jurulatih negara itu membuat beberapa pertukaran termasuk membawa masuk Mohd Affize Faisal Mamat, Mohd Ferris Daniel Mat Nasir dan Mohamad Faizal Abu Bakar menggantikan Mahali, Gary Steven dan Wan Zack Haikal Wan Nor.
Strategi itu tampak memberi kesan apabila skuad Olimpik mula melancarkan asakan bermula dengan rembatan jarak jauh Mohamad Faizal yang sedikit tersasar pada minit ke-67.
Namun kebangkitan pemain negara selepas itu terjejas akibat hujan lebat yang menyaksikan hantaran-hantaran mereka tersekat di atas padang yang digenangi air.
Skuad negara akan kembali ke tanah air hari ini untuk meneruskan sesi latihan pusat dan bertolak ke Doha bagi aksi perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Qatar pada 13 Jun sebelum bertemu Lubnan di Beirut pada 19 Jun.
Aksi kedua perlawanan kelayakan Olimpik itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Jun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment