PEMAIN pertahanan Selangor, Mohd Asraruddin Putra Omar mengingatkan rakan sepasukannya agar terus mempamerkan semangat perjuangan tinggi untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super yang kini berbaki dua lagi perlawanan.
Pemain pertahanan kiri kebangsaan itu yang meledak empat gol ketika
Selangor menewaskan Perlis, 7-1, malam kelmarin tetap menganggap peluang masih terbuka dan seimbang untuk gergasi Merah Kuning itu terus bersaing hebat dengan Kelantan dan Terengganu.
“Peluang tetap ada. Kami tidak boleh menghiraukan pasukan lain (Kelantan dan Terengganu) dan perlu fokus untuk mengutip tiga mata penuh pada baki dua perlawanan lagi,” kata pemain yang menyarung jersi Selangor 2007 itu.
Selangor kini mengumpul 48 mata selepas 24 perlawanan ketinggalan dua mata di belakang Kelantan yang menerajui liga manakala Terengganu kini mengumpul 47 mata di tempat ketiga sekali gus saingan tiga penjuru untuk takhta Liga Super musim ini.
Skuad bimbingan K Devan itu akan meneruskan saingan pada Selasa depan apabila menanti kunjungan Felda United di Stadium Shah Alam sebelum menamatkan aksi Liga Super musim ini dengan menentang Perak di gelanggang lawan pada 6 Julai.
Mengenai aksi cemerlang Selangor di Stadium Shah Alam kelmarin, Mohd Asraruddin berkata kemenangan terbesar Liga Super setakat ini tidak dijangka sama sekali.
“Namun kami memang bertekad untuk mencari kemenangan selesa kerana menyedari tugas untuk menjuarai Liga Super buat kali ketiga berturut-turut akan bertambah sukar sekiranya terus ketinggalan dari segi jaringan kepada Kelantan,” katanya.
No comments:
Post a Comment