Monday, June 13, 2011

Pantang mengalah jadi azimat Irfan

KUALA LUMPUR - Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kata-kata perangsang ketika rehat di bilik persalinan, menyemarak semangat pemain untuk bangkit setelah ketinggalan satu gol seterusnya menjulang Piala FA kedua selepas 2000 apabila mengalahkan Kelantan 2-1 kelmarin.

"Saya berpesan kepada pemain dan merujuk kekalahan 0-3 dalam Liga Super di Kuala Terengganu, baru-baru ini dengan menyatakan bahawa jika mereka mahu menang dan bergelar juara, inilah masa yang terbaik untuk melakukannya secara habis-habisan.

"Saya mendapati ada pemain yang sudah kecewa dengan gol Kelantan itu tetapi mujurlah ada yang tidak mudah patah semangat dan terus mengasak sehingga ke minit terakhir, membawa ke masa tambahan dan akhirnya mendapat gol kemenangan.

"Kegembiraan memenangi piala ini tidak dapat digambarkan dan saya terharu dengan ketekunan pemain untuk berjuang sehingga ke wisel penamat," kata jurulatih kelahiran Kelantan yang pernah melatih Perlis, Pulau Pinang dan sebuah kelab Indonesia.

Tambah Irfan, dia tidak mahu perlawanan diheret sehingga ke penentuan penalti, kerana ia ibarat memperjudikan nasib.

"Saya bersyukur kerana pemain menunaikan segala tanggungjawab yang diberikan dengan baik," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof yang diumumkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir berkata: "Saya bersyukur kepada Allah. Malam ini penuh bermakna bagi Terengganu sebab sudah 11 tahun kami tidak merasai kejuaraan.

"Inilah hadiah untuk rakyat Terengganu. Ternyata gol saat akhir menyuntik semangat kami sehingga tidak lagi menoleh ke belakang untuk mencari gol kemenangan. Misi seterusnya ialah menghabiskan baki dua perlawanan dengan menjuarai Liga Super," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...