Sunday, June 12, 2011

Pemain gantian wira Terengganu

PEMAIN Terengganu meraikan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR– Pemain gantian, Ahmad Nordin Alias muncul wira Terengganu apabila gol kemenangannya pada minit ke-109 masa tambahan membawa skuad Putih Hitam itu menjulang Piala FA 2011 dengan menewaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang dramatik, semalam.

Dia yang masuk menggantikan Ismail Faruqi Ashari, merembat masuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat selepas mendapat umpanan tandukan Joseph Kallang Tie daripada satu sepakan sudut sebelah kiri.

Terdahulu perlawanan itu terikat 1-1 selepas 90 minit permainan masa sebenar dengan Kelantan membuka tirai gol menerusi Nurul Azwan Roya pada minit ke-79 sebelum diikat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dengan jaringan sendiri Daudsu Jamaludin.

Nurul Azwan menewaskan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli menerusi sepakan lambung selepas melakukan larian kencang dan menyambung lorongan bola daripada Shakir Shaari pada minit ke-79.

Ketika perlawanan berlanjutan ke masa kecederaan lima minit dan mencecah penghujungnya dan seolah-olah Kelantan akan merangkul trofi itu kali pertama, anak buah Datuk M. Karathu dikejutkan dengan gerakan Abdul Manaf dari sebelah kanan.

Penyerang Terengganu itu mengutip lorongan bola daripada Ashari Samsudin dari sebelah kanan sebelum menolak menewaskan Khairul Fahmi yang kemudiannya tertanduk ke gawang Kelantan oleh pemainnya, Daudsu.

Kejayaan menjulang trofi pertandingan kalah mati kebangsaan itu sekali gus mengulangi kejayaan Sang Penyu melakukannya buat kali terakhir pada 2000 dengan menewaskan Pulau Pinang menerusi penentuan penalti 4-3.

Menariknya ialah Piala FA kali ini dimenangi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti yang secara kebetulan berasal dari Kelantan dan melatih Pulau Pinang yang ditewaskan lawan dalam perlawanan akhir, 11 tahun lalu.

Sebaliknya kekalahan tipis ini langsung meranapkan impian Kelantan untuk menambah koleksi gelaran kedua Liga Malaysia musim ini selepas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan Selangor 2-0 pada awal tahun.

Kelantan turut terus kempunan Piala FA selepas dihampakan Selangor menerusi penentuan penalti 4-1 juga di Bukit Jalil, dua tahun lalu selepas mereka terikat 1-1.

Perlawanan akhir edisi ke-22 ini turut disaksikan oleh tetamu kenamaan seperti Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, jurulatih Terengganu Irfan Bakti memuji pemain yang bangkit untuk menenangi perlawanan.

“Pemain berjuang sehingga ke minit akhir (masa sebenar) untuk mencari gol penyamaan dan mengheret permainan ke masa tambahan, seterusnya memenangi perlawanan,” katanya.

Jurulatih Kelantan, Karathu pula mengakui jaringan penyamaan pada minit akhir masa kecederaan, melemahkan semangat pemain.

“Apabila permainan berlanjutan ke masa tambahan, adalah sukar untuk pemain mengekalkan semangat seperti masa pada masa sebenar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...