KUALA LUMPUR - Kempunan Piala FA, cuma wajar dijadikan sejarah dan iktibar khususnya buat Kelantan mahupun Selangor kerana sebarang keciciran mata mereka dalam baki dua perlawanan Liga Super, mampu mengundang padah dan membentangkan laluan buat Terengganu menambah koleksi gelaran.
Pasukan kecundang juga wajar lebih bersemangat untuk menebusnya sambil si juara baru, tidak patut terlalu bergembira atau berpesta terlalu awal kerana Liga Super masih merupakan sebuah gelaran bola sepak negara yang lebih berprestij di belakang Piala Malaysia.
Kelantan, Selangor dan Terengganu sudah pun menjamin kantung mereka dengan ganjaran wang tunai buat tiga teratas Super kerana jurang mata masing-masing yang sukar dihambat lagi pasukan di luar kelompok itu dan hanya jumlahnya yang bakal berbeza tetapi mungkin memerlukan sehingga perhitungan perlawanan terakhir, 6 Julai ini.
Namun, ketiga-tiga pasukan teratas Liga Super kini juga berdepan laluan bukan kepalang untuk memastikannya dengan anak buah Datuk M. Karathu yang cuma dipisahkan dua mata sebagai peneraju, menanti kehadiran Perak - sebuah pasukan yang agak hambar pada penghujung persaingan liga setelah bermula agak baik dengan rekod tanpa kalahnya.
''Sekarang bukan lagi masanya untuk menyalahkan sesiapa kerana terlepas Piala FA (termasuk jaringan sendiri Daudsu Jamaludin). Sebaliknya masa yang terhad inilah perlu digunakan sebaik mungkin untuk memulihkan semula keyakinan dan memberikan perangsang pasukan,'' kata jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu.
Ditanya sama ada dia mahu merombak lagi kesebelasan utama Si Kijang termasuk mengembalikan Ramzul Zahini Adenan ke tempat Izuan Solahuddin, hari ini, katanya, walau siapa pun yang diletakkan di situ, beliau sentiasa pentingkan kerja keras, tidak kira pemain itu muka baru atau kurang pengalaman.
Mengenai Perak, pasukan kelahirannya dan pernah diterajuinya dua tahun lalu, kata Karathu; "Mereka pasukan yang liat untuk dihadapi. Bagi perlawanan ini, Kelantan perlu bekerja lebih keras dari ketika perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu."
Mirip Wira Merah yang ditentang negeri jiran di Kota Bharu, Selangor bimbingan K. Devan pula berdepan Felda United di Shah Alam yang berprestasi agak sederhana manakala Terengganu dengan T-Team menjanjikan 'pertembungan abang-adik' yang mampu menyentuh emosi dan status masing-masing.
Sebagaimana kentalnya semangat pantang menyerah Sang Penyu pada minit-minit terakhir di Bukit Jalil, Irfan Bakti turut merujuk situasi itu kepada pertarungan tiga penjuru takhta Liga Super ini dengan Wira Merah dan Gergasi Merah yang masing-masing berkelebihan tiga dan satu mata dengan anak buahnya.
"Peluang kami masih setara dengan kedua-duanya malah saya percaya apa sahaja boleh berlaku (seperti mana Terengganu bangkit menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan sebelum menang pada masa tambahan). T-Team tetap bukan lawan mudah walaupun mereka senegeri dan ramai pemainnya cukup saling mengenali.
"Bezanya kali ini, saya kena berikan lebih perangsang kepada pasukan," katanya yang pasti mengidam untuk menyamai rekod Devan yang membawa Selangor menjulang dua trofi semusim, Liga Super dan Piala FA pada 2009 sekali gus satu lagi tiket 'bonus' selaku wakil Malaysia ke Piala AFC tahun depan.
No comments:
Post a Comment