Tuesday, June 14, 2011

Impian Terengganu simpan Piala FA tertakluk FAM

KUALA LUMPUR - Hanya Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berhak untuk memutuskan sama ada Terengganu dibenarkan untuk menyimpan terus Piala FA yang dimenanginya, Sabtu lalu atau tidak di Muzium Negeri Terengganu.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Amin berkata, trofi saingan kalah mati kebangsaan yang diperkenalkan pada 2005 itu masih menjadi milik badan induk berkenaan dan persetujuan sebulat suara Exco diperlukan berhubung haluannya selepas ini.

"Menukar piala itu bagi musim depan juga belum menjadi keputusan rasmi FAM lagi. Sekalipun sah akan digantikan dengan yang baru, ia masih kepunyaan FAM kecualilah seluruh Exco setuju dan benarkan ia diserahkan kepada Terengganu yang mahu menyimpannya di Muzium Negerinya," katanya.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM, mengulas hasrat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh untuk membenarkan mereka menyimpannya sebagai hadiah kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga Sultan Terengganu.

Sekiranya sah berganti musim depan, Terengganu bakal menjadi pemiliknya yang terakhir selepas menewaskan Kelantan 2-1 dalam masa tambahan perlawanan akhir edisi ke-22 di Stadium Nasional, Bukit Jalil hasil jaringan pemain gantian, Ahmad Nordin Alias.

Pertandingan Piala FA diasaskan pada 1990 dengan Perak selaku pemilik sulungnya selepas menewaskan Selangor 4-2, namun trofinya bertukar rupa pada 2005 sebaik sahaja penaja utama terdahulu, Dunhill menamatkan kontrak dengan FAM dan digantikan oleh TM.

Bagaimanapun, Selangor masih menjadi pemenang terbanyak Piala FA dengan lima kali malah secara kebetulan diberi penghormatan menjulang trofi sekarang yang lebih tinggi dan cukup berat itu pada 2005 selepas menewaskan Perak 4-2.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...