Tuesday, June 7, 2011

Tiada rundingan beri Terengganu menang Piala FA

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyeru penyokong Red Warriors supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin bahawa pihaknya telah berunding untuk memberikan kemenangan kepada Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, khabar angin tersebut dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk mengagalkan pasukan demi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, adalah mustahil Kelantan akan memberi laluan kejuaraan kepada Terengganu setelah pemain menunjukkan aksi terbaik sepanjang Piala FA.

“Kita telah berjuang sehingga layak ke perlawanan akhir dan ia bukannya satu tugas yang mudah.

“Kalah dan menang adat permainan. Kami akan mencuba habis-habisan untuk muncul juara perlawanan akhir nanti,” katanya ketika ditemui semalam.

Annuar berkata, beliau juga meminta pemain dan jurulatih tidak terpengaruh dengan khabar angin tersebut.

“Saya sudah memberitahu pemain dan jurulatih jangan percaya dengan polemik mereka yang tidak tahu majukan bola sepak.

“Saya hendak tegaskan Kelantan sebuah pasukan yang bersih dan terdidik serta dilatih dengan baik sejak hari pertama saya bentuk pasukan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.net) Mahizi Mahmood ketika dihubungi berharap penyokong Kelantan akan terus memberikan sokongan tanpa berbelah bagi sambil menyifatkan khabar angin itu dicetuskan bagi mengurangkan penyokong pasukan itu ke stadium.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...