PETALING JAYA – Perlawanan persahabatan dengan tiga kelab hebat Liga Perdana England (EPL) mampu menawarkan persiapan terbaik buat skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014.
Jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal berkata, peluang mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga kelab terkemuka EPL iaitu Arsenal, Liverpool dan Chelsea sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pemain kebangsaan dalam usaha mereka mempelajari sesuatu dari pemain-pemain bintang.
“Bagi saya perlawanan dengan kelab ternama ini bukan satu cabaran, tetapi, ini merupakan peluang terbaik untuk para pemain kita menimba pengalaman sebanyak mungkin, kerana ia bukan datang selalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sidang akhbar pengumuman perlawanan persabahatan antara Liverpool dengan skuad kebangsaan pada 16 Julai ini, bersempena rangka Jelajah Asia 2011 kelab tersebut di sini, semalam.
Selain Liverpool, pasukan Malaysia turut menentang Arsenal pada 13 Julai dan Chelsea 21 Julai ini.
Mengulas mengenai peluang anak-anak buahnya dalam perlawanan persahabatan itu, Rajagobal memberitahu, persembahan pasukannya kini sudah jauh berubah, sekiranya pertemuan dengan Manchester United pada 2009 menjadi ukuran.
Jelasnya, para pemainnya perlu mempamerkan permainan yang konsisten jika berhajat memberikan persembahan yang menarik.
“Bagi saya inilah peluang terbaik untuk saya mempersiapkan skuad Malaysia menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia. Saya akan cuba berikan yang terbaik,” ujarnya.
Begitupun beliau berharap, anak-anak buahnya tidak terlalu memaksa diri untuk bersaing dengan pemain-pemain bintang kelab EPL, bimbang mereka tercedera.
“Tumpuan sebenar kita ialah pusingan kelayakan dan saya tidak mahu mereka dapat kecederaan pula kerana ia akan menjejaskan pasukan,” tambahnya.
Sebelum menghadapi tiga kelab EPL itu, Harimau Malaya terlebih dahulu akan beraksi menentang Myanmar dalam persahabatan seterusnya, kemungkinan di Kota Bharu pada 18 Jun ini sebelum berdepan ujian sebenar Kelayakan Piala Dunia dengan Taiwan, 29 Jun dan 3 Julai.
No comments:
Post a Comment