Thursday, June 9, 2011

‘Tidak masuk akal’

KEKALAHAN memalukan 7-1 kepada Selangor Isnin lalu dianggap tidak masuk akal buat penolong jurulatih Perlis, Azamri Zali sehingga beliau berasakan sesuatu yang tidak kena berlaku dalam perlawanan Liga Super itu.


Azamri mendakwa, keputusan buruk itu di luar jangkaan dan tidak menolak kemungkinan wujudnya gejala mengatur keputusan perlawanan membabitkan pemainnya.

“Saya pelik, macam ada sesuatu yang tidak kena, mungkin ada unsur tidak sihat kerana sebelum ini walaupun kami kalah, kami beri ‘fight’ (tentangan). 



Kalau setakat kalah satu atau dua gol itu boleh diterima tapi tujuh gol memang di luar jangkaan,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.



Pada perlawanan di Stadium Shah Alam itu, tuan rumah mudah membelasah skuad Singa Utara yang kini menduduki tangga tercorot liga menerusi empat gol sumbangan pemain pertahanan kebangsaan, Asrarudin Putra Omar manakala tiga gol lagi dihasilkan, Rudie Ramli, Fitri Shazwan Raduwan dan Amirulhadi Zainal.

Menurut Azamri, setakat ini pihak persatuan masih tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pemain namun mereka mengambil langkah pertama dengan menonton semula perlawanan itu menerusi salinan video yang diberikan Persatuan Bola Sepak Selangor.


“Kami akan mendapatkan video perlawanan daripada Selangor FA dan pihak jawatankuasa teknikal kami yang terdiri daripada bekas pemain akan tengok kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan pemain. Selepas itu barulah kami akan buat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).





“Mungkin pemain tahu, hanya tinggal tiga perlawanan liga lagi, jika menang sekalipun tidak akan memberi sebarang makna dan inilah peluang untuk buat duit. Kami akan mengambil tindakan tegas jika terbukti ada pemain terbabit dengan gejala tidak sihat ini. Ini demi kebaikan bola sepak Perlis dan tanah air,” kata Azamri.

Sementara itu, beliau memberitahu tiada pemain Perlis disiasat SPRM walaupun pada mulanya badan itu mahu menemui pemain di hotel penginapan mereka sebelum perlawanan dengan Selangor.




“Saya dapat tahu ada wakil SPRM mahu datang menemui kami di hotel, mungkin untuk beri taklimat tapi mereka tidak datang,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...