Kelantan sedia ulangi pencapaian sama dalam Liga Super tempoh hari
PERANG psikologi final Piala FA sudah pun bermula dengan Kelantan seperti sudah bersedia mengulangi pencapaian sama dalam Liga Super tempoh hari menewaskan pasukan tetangga, Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Pemain muda The Red Warriors, Mohd Izuan Salahudin, 20, berkata dia dan rakan sepasukan akan berjuang memastikan dapat menang dan menghadiahkan trofi itu kepada peminat setia mereka.
Katanya, harapan untuk menjulang Piala FA pada tahun ini amat tinggi dan berharap diberi peluang mencipta sejarah manis bersama Kelantan.
“Perasaan saya sekarang begitu berdebar kerana hari perlawanan bakal menjelma beberapa hari lagi dan sementara itu saya akan mengadakan latihan bersama jurulatih dan rakan yang lain bagi meningkatkan prestasi sendiri mahupun pasukan.
“Perlawanan 11 Jun ini begitu bermakna bagi semua pemain dan penyokong setia Kelantan dan saya harap kemenangan akan menjadi milik kami,” katanya.
Izuan yang menjaringkan gol awal pada minit kesembilan ketika menewaskan Terengganu 3-0, Isnin lalu, turut berharap ketua jurulatih, Datuk M Karathu akan memberi peluang kepadanya untuk menyarung jersi kesebelasan utama dalam final nanti bagi membuktikan kemampuannya.
Dia akur cabaran beraksi sebagai pemain utama di final Piala FA tampak sukar berikutan prestasi memberangsangkan pemain lain namun pemain yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu, tetap menanam keazaman untuk membantu Kelantan mendapatkan Piala FA.
“Semua perancangan di tangan ketua jurulatih tapi jauh di hati saya menaruh harapan untuk beraksi sebagai pemain utama seandainya mendapat kepercayaan jurulatih.
“Siapa yang tidak mahu bermain di kejohanan yang bakal disaksikan puluhan ribu penyokong sendiri dan ini membuat saya lebih bersemangat untuk bergandingan bersama-sama rakan yang lebih berpengalaman ketika menentang Terengganu di final nanti,” katanya ketika di hubungi semalam.
No comments:
Post a Comment