Aziz Azizan (kanan) dan Jelani Wilastra. |
Dua bekas pemain negara mahu kerjasama bendung gejala rasuah yang hantui semula
KESAL dengan kesilapan sendiri dua bekas pemain kebangsaan - Aziz Azizan dan Jelani Wilastra - menyuarakan niat membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencegah skandal rasuah yang kini kembali menghantui kancah bola sepak negara.
“Kami sedia bekerjasama dengan FAM mencegah gejala terkutuk ini daripada berulang. Kami ingin kembali menjalani hidup seperti sebelumnya dan memberi sumbangan kepada bola sepak negara menerusi pengalaman dan pengetahuan yang ada,” kata Aziz dan Jelani.
Bekas pemain Pulau Pinang itu adalah antara dua bekas pemain yang berani tampil berkongsi pengalaman dalam satu rancangan bicara sukan terbitan RTM, Stadium Angkasa, kelmarin.
“Kami sudah serik dan insaf,” kata mereka yang pernah didakwa atas tuduhan menerima rasuah untuk mengatur keputusan perlawanan Liga Malaysia pada era 90-an.
Pengakuan Aziz dan Jelani yang disiarkan secara langsung dari Pulau Pinang itu adalah yang pertama sejak 126 pemain Liga Malaysia dikenakan hukuman gantung permainan dan buang daerah pada 1994 dan 1995 sehingga menyebabkan kehancuran kepada bola sepak negara.
“Sakitnya masih terasa hingga ke hari ini,” kata Aziz yang dikenakan hukuman buang daerah dan digantung daripada sebarang kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Penyeksaan ini bukan saja dirasakan oleh saya, tetapi turut membabitkan keluarga dan rakan-rakan.
“Sudah lama saya memendam perasaan ini, tetapi apabila terbaca mengenai pembabitan pemain muda dengan rasuah, kami rasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman supaya perbuatan jenayah ini dihentikan segera. Percayalah, kami sudah melaluinya dan menyesal hingga ke hari ini.”
“Dulu mungkin pemain mudah terpengaruh dengan hasutan bookie kerana kesempitan hidup,” kata Jelani.
“Namun saya ingin tegaskan, kemewahan sementara itu hanya akan membawa kepada masa depan lebih gelap seperti yang kami lalui. Insaflah sebelum terlambat.”
Aziz dan Jelani turut memohon Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membebaskan mereka dan rakan-rakan lain daripada hukuman 17 tahun dulu itu.
No comments:
Post a Comment