Monday, June 13, 2011

Tuhan saja yang tahu perasaan saya: Daudsu

pix_gal0
"TUHAN saja yang tahu bagaimana perasaan saya." Itulah keluhan pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaludin (atas) yang memohon maaf kepada penyokong The Red Warriors kerana gagal membantu Kelantan membawa pulang Piala FA kali ini. 

Gol yang ditanduk masuk ke dalam gawang sendiri pada minit terakhir permainan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam kelmarin jelas menyentap semangat sepasukan yang terpaksa bertarung dalam 30 minit masa tambahan sebelum kecundang kepada Terengganu 2-1 bagi edisi ke-22 kali ini.

"Selepas perlawanan tamat saya tidak dapat melelapkan mata kena memikirkan kesilapan yang terjadi di atas padang sehingga membawa kepada kekalahan pasukan.


"Saya sedih memikirkan penyokong kami yang sanggup datang jauh mengharapkan kemenangan. Saya sudah mencuba yang terbaik untuk memastikan malam itu menjadi milik Kelantan," katanya ketika dihubungi semalam. 

Sementara itu, tugas berat menanti jurulatih pasukan Kelantan, Datuk M Karathu apabila moral anak buahnya dikatakan berada pada tahap terendah, musim ini. 
"Saya hanya mempunyai dua hari untuk memulihkan moral pemain," kata Karathu yang kini masih mempunyai misi penting mempertahankan kedudukan teratas Liga Super yang hanya berbaki dua perlawanan. 

"Saya akan gunakan tempoh dua hari ini memulihkan keyakinan pemain dalam usaha memburu kejuaraan Liga Super. Saya tidak mahu kekecewaan ini menyebabkan kami hilang semuanya. Cerita kekalahan ini harus dilupakan segera dan memberi tumpuan kepada saingan seterusnya." 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...